KUALA NERUS: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membelanjakan RM65.6 juta subsidi bagi membiayai penganjuran 956 sesi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Terengganu dalam tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos tahun ini.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, seramai 1.2 juta rakyat negeri itu telah mendapat manfaat daripada PJRM yang merangkumi pelbagai model termasuk secara dalam premis, bergerak, pasar, kampus dan terbuka.
Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak RM1,297,766 nilai jualan telah direkodkan, dengan harga barangan ditawarkan pada kadar 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding jualan biasa.
"Pelaksanaan PJRM di Terengganu terus diperkukuh menerusi penambahan rakan strategik dan operator bagi memperluas akses masyarakat kepada barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.
"Pada tahun ini, sebanyak 16 operator baharu telah menyertai PJRM termasuk enam di Setiu atau Besut, Kemaman (lima), Hulu Terengganu atau Marang (tiga), Kuala Nerus (satu) dan Dungun (satu) menjadikan keseluruhan 98 operator di seluruh negeri.
"Masih ada kira-kira 100 siri PJRM yang akan dilaksanakan di seluruh negeri hingga Disember ini... untuk masa akan datang, kita akan cuba melaksanakan lima sesi penganjuran PJRM dalam masa seminggu seperti saranan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita pada PJRM Malam Merdeka di pekarangan Masjid Seberang Takir, di sini.
Dalam pada itu, Mohd Mufsi berkata, tiga operator PJRM telah dikenakan tindakan penggantungan sementara kerana tidak mematuhi syarat dan garis panduan pelaksanaan program.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah mengemukakan tuntutan pembayaran subsidi yang tidak selaras dengan dokumen dan rekod pelaksanaan sebenar serta ketidakpatuhan terhadap ketetapan jualan borong PJRM termasuk penjualan barangan melebihi had kuantiti dibenarkan.
Mod Mufsi juga berkata, ketetapan had pembelian dalam pelaksanaan PJRM ialah memastikan manfaat subsidi dapat dinikmati seramai mungkin pengguna sekali gus mencapai matlamat program.
"Operator ini akan digantung selama lebih kurang sebulan... mereka tidak dapat menyertai mana-mana PJRM yang kita anjurkan.
"KPDN akan menjalankan naziran semula terhadap operator bagi menilai tahap pematuhan dan tindakan penambahbaikan... hasil naziran akan menjadi asas kepada penentuan kelayakan syarikat untuk menyertai PJRM pada masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA