KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) belum bersedia menjadikan penanaman padi bukit atau padi huma yang kini diusahakan secara tradisi, kepada pengeluaran berskala besar, Dewan Negara diberitahu.

Timbalan menteri berkenaan Chan Foong Hin berkata ketika ini, kegiatan penanaman padi itu hanya dilakukan secara kecil-kecilan oleh masyarakat setempat dan Orang Asal terutamanya di Sabah dan Sarawak.

"Dari segi komitmen, usaha kerajaan untuk memajukan lagi penanaman padi huma telah ditunjukkan melalui pemberian peruntukan sebanyak RM50 juta sepertimana diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri.

"Cuma buat masa ini, kita belum bersedia untuk melaksanakan penanaman dalam skala lebih besar kerana kegiatan ini hanya dilakukan secara tradisi oleh penduduk setempat dan bukannya bersifat besar-besaran," katanya menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail pada sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Hussin ingin tahu kesediaan kerajaan untuk menjadikan penanaman padi huma ke arah pengeluaran berskala besar termasuk aspek penyelidikan dan pembangunan.

Chan berkata dari segi kajian dan penyelidikan, kementerian telah berinteraksi dengan pelbagai pihak termasuk Khazanah Research Institute bagi merencana perkembangan industri padi huma yang disifatkan sebagai produk beras dengan nilai komersial tinggi.

"Untuk memajukan aktiviti penanaman padi huma kepada industri berskala besar dan berorientasikan eksport, kita perlu melakukan pelbagai pelarasan termasuk Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 kerana kerajaan tidak menggalakkan pengeksportan beras.

"Namun, penambahan peruntukan sebanyak RM50 juta yang dibuat kerajaan boleh menjadi satu langkah permulaan yang baik ke arah memajukan lagi aktiviti penanaman tanaman padi tradisi ini pada masa akan datang," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lepas mengumumkan kerajaan bersetuju meningkatkan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma daripada RM40 juta kepada RM50 juta dan ia antara lain bakal meluaskan kawasan penanaman padi bukit daripada 43,000 hektar.

-- BERNAMA