Skip to main content

Malaysia

Kerajaan beri jaminan lindungi rakyat daripada kesan konflik Asia Barat - PM Anwar

Perdana Menteri menjawab soalan ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.  - Foto Bernama
Perdana Menteri menjawab soalan ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan melindungi rakyat dan menjamin bekalan asas jika konflik Asia Barat semakin meruncing.
  • Belanjawan 2027 memperkenalkan peningkatan bantuan tunai, pelepasan cukai individu, kenaikan gaji minimum, serta subsidi bahan api dan bantuan persekolahan.
  • Sokongan kepada PMKS diperkukuh melalui peningkatan kemudahan pinjaman, jaminan pembiayaan, dan pengurangan kadar cukai bagi membantu kelangsungan perniagaan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan tetap melindungi rakyat, menjamin bekalan keperluan asas serta menyokong kelangsungan perniagaan dan pekerjaan jika konflik di Asia Barat semakin meruncing.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata dalam Belanjawan 2027, kerajaan terus melindungi rakyat daripada kesan konflik di rantau itu. 

“Menerusi belanjawan tahun depan, bantuan dan kuasa beli ditingkatkan antaranya melalui pelepasan cukai individu dinaikkan kepada RM12,000,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini. 

Advertisement

Selain itu, katanya kadar cukai pendapatan individu dikurangkan sebanyak satu mata peratusan bagi pendapatan RM70,000 hingga RM150,000, yang dianggarkan memberi lebihan pendapatan sehingga RM1,600 kepada lima juta pembayar cukai. 

“Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan dan tertinggi dalam sejarah daripada RM15 bilion kepada RM16 bilion. 

Advertisement

“Kadar SARA dinaikkan sehingga RM150 sebulan manakala penerima eKasih sehingga RM250 sebulan,” kata Anwar.

Beliau menjawab soalan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) berkenaan langkah kerajaan dalam mengurangkan hutang negara ke paras yang lebih mampan serta sejauh mana kedudukan fiskal semasa memberikan ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan langkah intervensi bagi melindungi ekonomi dan kesejahteraan rakyat sekiranya konflik di Asia Barat semakin meruncing.

Sehingga 13 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR, termasuk golongan M40 akan menerima SARA MADANI RM100 sebanyak dua kali pada 2027. 

Anwar berkata melalui BUDI MADANI, rakyat terus menikmati RON95 bersubsidi sehingga 300 liter pada harga RM1.99 berbanding harga sebenar RM3.87 seliter selain diesel bersubsidi sehingga 400 liter pada harga RM2.10 berbanding RM4.87 seliter. 

Turut diberikan ialah Bantuan Awal Persekolahan yang dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 untuk 5.3 juta murid, kata beliau. 

Menurut Perdana Menteri, gaji minimum juga dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, memanfaatkan lebih 4 juta pekerja selain Gaji Kehidupan Wajar syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) naik daripada RM3,100 kepada RM3,400, memanfaatkan 230,000 pekerja.  

“Belanjawan 2027 juga menyokong kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), antaranya kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan ditingkatkan daripada RM50 bilion kepada RM57 bilion.

“Kemudahan Bantuan Kestabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) oleh Bank Negara Malaysia ditambah sebanyak RM5 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan RM10 bilion,” kata Anwar.

 Sementara itu, katanya Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) turut menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM32 bilion.

“Liputan SJPP diperluas kepada syarikat pertengahan dalam semua sektor manakala RM2 bilion di bawah CGC dikhususkan untuk sektor semikonduktor,” kata Perdana Menteri.

Selain itu, Anwar berkata kadar cukai PMKS dikurangkan bagi pendapatan bercukai sehingga RM600,000 sebanyak satu mata peratusan manakala kelonggaran pelaksanaan e-Invois Fasa 4 diberikan sehingga akhir 2027. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement