KUALA LUMPUR: Anggota polis yang menjalankan tugas diarah meningkatkan tahap kesiapsiagaan, termasuk bersedia menggunakan senjata api sekiranya berdepan ancaman terhadap keselamatan diri.
Arahan itu dikeluarkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menerusi satu rakaman suara yang ditujukan kepada seluruh pegawai dan anggota di bawah Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Menerusi rakaman itu, Fadil menegaskan setiap anggota perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan tidak mengambil mudah sebarang situasi berisiko ketika menjalankan tugas.
Sebaliknya, setiap anggota perlu memastikan latihan dan pengetahuan berkaitan prosedur keselamatan sentiasa berada pada tahap terbaik bagi menghadapi pelbagai kemungkinan ketika bertugas.
"URB, detektif, MPV sesiapa sahaja di barisan hadapan saya tidak mahu kejadian yang berlaku di Gombak kena anggota saya di bahagian hadapan pastikan seperti mana saya cakap perlu bersedia.
"Keluarkan senjata api dan bersedia tembak. Ada keraguan, tembak. Ada kerisauan dan ancaman, tembak. Jangan tunggu tangan putus baru hendak meyesal," katanya.
Kenyataan dikeluarkan dipercayai susulan kejadian di Desa Aman Puri, Gombak pada Rabu, di mana seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas ditetak seorang lelaki warga asing menggunakan parang.
Serangan itu menyebabkan pergelangan tangan kanan anggota berkenaan terputus, sekali gus mencetuskan perhatian terhadap aspek keselamatan petugas barisan hadapan ketika menjalankan operasi.
Sehubungan itu, Fadil turut mengarahkan pegawai bertugas di Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) memastikan arahan berkenaan disampaikan kepada semua bahagian dan elemen operasi supaya langkah kesiapsiagaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.