Ringkasan AI
- Jason Tze-Xi Nathan menyatakan pengundi Pengkalan Batu lebih mengutamakan penyelesaian isu harian seperti jalan rosak, longkang dan banjir berbanding projek pembangunan besar.
- Beliau menawarkan tiga inisiatif utama termasuk kaunter bergerak, audit infrastruktur awam, dan dana subsidi aktiviti komuniti berskala kecil jika diberi mandat.
- Jason berdepan saingan empat penjuru pada PRN Melaka, dengan kerusi Pengkalan Batu pernah dimenangi BN pada PRN 2021 dengan majoriti tipis.
BACHANG BARU: Pengundi tidak meminta projek pembangunan besar, sebaliknya mahu masalah harian seperti jalan rosak, longkang dan banjir diselesaikan, ujar Jason Tze-Xi Nathan.
Itu antara maklum balas diterima calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu itu selepas menjelajah kesemua sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan berkenaan.
Peguam berusia 31 tahun itu berkata, keperluan penduduk berbeza mengikut lokaliti, namun kebanyakannya berkisar soal penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan asas.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan penyelesaian masalah setempat perlu diberikan keutamaan berbanding menjanjikan pembangunan berskala besar.
"Pengundi tak minta untuk projek besar dalam DUN Pengkalan Batu. Apa yang mereka minta adalah perkara yang sangat (bersifat) lokal," katanya ketika ditemui Astro AWANI semasa tinjauan mesra di Bachang Baru, semalam.
Berdasarkan maklum balas itu, Jason menggariskan tiga janji utama yang mahu dilaksanakan sekiranya diberi mandat pada hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu ini.
Antaranya, memperkenalkan kaunter bergerak 'Jumpa Jason' bagi membolehkan penduduk berhubung terus dengan wakil rakyat tanpa perlu bergantung kepada pertemuan di pejabat.
Beliau turut menawarkan pelan audit infrastruktur menerusi pendekatan 'Jalan Elok, Lampu Terang, Taman Selamat' bagi mengenal pasti kemudahan awam yang memerlukan penambahbaikan.
"Memang kita akan buat satu plan infrastruktur untuk audit dan menambah baik mana-mana fasiliti awam yang perlu.
"Serta membuat satu dana rancakkan aktiviti komuniti yang berskala kecil, dengan pemberian subsidi untuk program bawah RM3,000," katanya.
Dalam pada itu, beliau memilih untuk tidak menjadikan persaingan dengan calon lain sebagai tumpuan utama sepanjang kempen.
Menurutnya, setiap calon mempunyai tawaran masing-masing dan pengundi wajar diberikan ruang untuk menilai kemampuan serta cadangan yang dikemukakan.
"Saya rasa tidak ada keperluan untuk saya fokus atas mereka dan juga tawaran mereka sebab apa yang kita tawarkan kepada pengundi adalah cukup," katanya lagi.
Jason yang mempunyai latar belakang dalam bidang guaman turut pernah menawarkan bantuan perundangan percuma kepada masyarakat.
Beliau berharap pengalaman berkenaan dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh khidmat kepada penduduk sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat Pengkalan Batu.
Jason berdepan pertandingan empat penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Siti Aisyah Mahmood, calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Goh Han Koon, serta calon Bersatu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Kerusi Pengkalan Batu pernah dimenangi DAP menerusi Norhizam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, sebelum beliau meninggalkan parti itu dan bertanding sebagai calon Bebas pada PRN 2021.
Pada PRN 2021, kerusi berkenaan bertukar tangan kepada BN menerusi Datuk Kalsom Noordin yang menang dengan majoriti tipis 131 undi, menewaskan calon PH, Muhamad Danish Zainudin dalam pertandingan lima penjuru.