KUALA LUMPUR: Kerajaan telah bersetuju memberikan kelonggaran bagi kaedah perolehan kerja bagi semua projek kecil termasuk pengecualian terhadap Arahan Perbendaharaan (AP) 182 kepada semua Kementerian/Agensi Pelaksana sehingga di peringkat negeri dan daerah dengan had nilai sehingga RM1 juta bagi projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil, kata Kementerian Kewangan.

Menurutnya semua projek Kerajaan Persekutuan merangkumi penyelenggaraan dan pembaikan bernilai RM1 juta boleh dilaksanakan terus oleh kementerian dan agensi berkenaan termasuk di peringkat negeri/daerah tanpa perlu melalui Jabatan Teknik termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Pengesahan kerja siap boleh dibuat oleh Ketua Jabatan atau pegawai yang diturunkan kuasa di peringkat Agensi Pelaksana negeri dan daerah dengan mematuhi kesempurnaan kerja mengikut tadbir urus baik.

"Kelonggaran lain adalah mewujudkan satu Pasukan Pemantau Projek sama ada di peringkat negeri atau daerah dengan penglibatan beberapa Agensi atau pegawai daripada pelbagai jabatan bagi membantu memantau pelaksanaan projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil memenuhi objektif yang ditetapkan," kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kelonggaran tersebut berkuat kuasa serta merta sehingga 31 Disember 2023, ia bagi memastikan kerja-kerja ini siap dalam tahun semasa.

Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2023 telah menekankan usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan projek prasarana rakyat terutamanya projek sekolah dan klinik daif.

"Kerajaan Perpaduan akan terus mempertegak dan berpegang pada prinsip tatakelola yang baik dalam pentadbiran.

"Pada masa yang sama, kerajaan akan terus memastikan perolehan kerajaan khususnya melibatkan projek-projek cakna rakyat seperti pembaikan dan penyelenggaraan sekolah daif, klinik daif, jalan-jalan berlubang akan dilaksanakan pada kadar segera," katanya.

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata kerajaan turut bersetuju memberi kelonggaran kaedah perolehan bagi semua projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil yang dilaksanakan oleh semua kementerian/agensi pengguna sehingga ke peringkat negeri dan daerah.

Bagi tujuan ini, had nilai sebut harga perolehan kerja ditingkatkan kepada RM1 juta daripada RM500,000 dan had perolehan secara cabut undi ditingkatkan kepada RM200,000 daripada RM100,000.

Dalam pada itu, kerajaan turut memberikan kemudahan pembiayaan kepada kontraktor bagi meningkatkan penglibatan kontraktor kecil dari pelbagai kelas untuk sama-sama terlibat dalam melaksanakan projek berskala kecil, ia memperkenalkan kemudahan pembiayaan secara "financial close".

"Ini bagi memastikan kontraktor tiada masalah aliran tunai dan kerja disiapkan mengikut jadual. Butiran lanjut berkaitan program ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya.

Bagi pertanyaan lanjut berkenaan AP182 boleh diajukan kepada [email protected] atau hubungi di talian 03-8882 3232/4476/3225.

-- BERNAMA