KEPALA BATAS: Kerajaan akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung cadangan Gabungan Pengilang Beras Malaysia supaya mewujudkan hanya satu gred tunggal untuk beras putih.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu masih di peringkat cadangan dan pihaknya perlu meneliti setiap perkara yang dikemukakan sebelum ia diputuskan.

Katanya, selain kementeriannya, perbincangan bersama itu turut melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bagi menyelaras berkenaan isu padi dan beras.

"Kita akan berbincang lagi dengan gabungan itu, dengan kementerian dan juga dengan kementerian- kementerian lain seperti Kementerian Ekonomi, KPDNK, Kementerian Kewangan.

"Sekurang-kurangnya empat kementerian akan terlibat bagi membincangkan mengenai isu berkaitan menyelaraskan hal padi ini, pada masa akan datang," jelasnya pada sidang media di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan mewujudkan hanya satu gred tunggal untuk beras putih dan tidak perlu lagi menggunakan label Beras Putih Tempatan dan Besar Putih Import seperti kelaziman.

Pengerusi Gabungan Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, langkah itu penting untuk memastikan tiada sebarang manipulasi di peringkat pemborongan sekali gus dapat mengelakkan pengguna daripada tertipu dengan beras yang dibeli.

Katanya, industri padi beras negara mampu menjadi lebih stabil dan harmoni sekiranya ada gred tunggal beras putih dengan pemain industri termasuk pesawah, pengilang, pemborong dan peruncit dapat menguruskan tanggungjawab masing-masing secara lebih terkawal dan terancang.

Terdahulu, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara hadir merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Amanah Kawasan Kepala Batas di Penaga.