Mandat untuk Barisan Nasional adalah penting untuk memastikan kesinambungan Program Transformasi Ekonomi dan membolehkan negara terus membangun.

Pengarah Urusan Cheng and Co, Akauntan Bertauliah, Dr Chua Hock Hoo, berkata kestabilan kerajaan amat penting dan oleh itu mandat untuk BN amat penting.

"Projek kerajaan seperti Transit Aliran Berkapasiti Tinggi adalah pemangkin utama untuk ETP dan akan membolehkan Greater Kuala Lumpur menjadi bandar gabungan bertaraf dunia.

"Kami lihat semua Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) berkembang seperti yang dirancang dan tiada tanda-tanda untuk diperlahankan menjelang pilihan raya umum.

"Kerajaan adalah penyumbang yang hebat untuk peningkatan persekitaran perniagaan dan menjadikannya kondusif untuk pertumbuhan ekonomi mapan di Malaysia," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara.

Dilancarkan pada 2010, ETP adalah inisiatif oleh kerajaan Malaysia untuk menjadikan Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi iaitu RM45,000 per kapita menjelang 2020 menerusi 12 NKEA sebagai penjana utama.

Menjelang akhir tahun lepas, ia telah mencipta 313,000 pekerjaan menerusi 72 Projek Permulaan bernilai RM179 bilion dan meningkatkan pendapatan per kapita kepada RM30,000.

Bagaimanapun, Dr Chua berkata pilihan raya umum akan datang tidak dijangka akan memberi kesan ketara kepada pasaran kewangan pada jangka sederhana hingga panjang dan ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan positif.

Katanya, walaupun mungkin terjadi impak jangka pendek sebelum hari mengundi berikutan kekurangan permintaan, ini tidak akan menjadi faktor utama.

Sementara itu, Chua berkata ekonomi Malaysia dijangka meneruskan momentum tahun lepas dan dijangka mencapai antara lima dan enam peratus pertumbuhan tahun ini.