KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kabinet sebulat suara membuat keputusan untuk meneruskan projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam satu kenyataan malam ini, keputusan itu dibuat Kabinet setelah mengambil kira dua faktor utama.

"Pertama LCS sememangnya aset yang amat dimahukan dan diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seiring perancangan pemodenan TLDM serta untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan armada kita serta menambah baik usaha memelihara kepentingan maritim negara.

"Kedua, terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek ini dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion merangkumi pelbagai perkara antaranya lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia, 90 peratus daripadanya berhubung kait dengan veteran.

"Berikutan itu, Kabinet akan menubuhkan sebuah jawatankuasa tadbir urus khas yang bakal dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan serta Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan," katanya.

BACA: Projek LCS: 'Tiada apa yang disembunyikan' - Hishammuddin

BACA: Isu projek LCS: Bukan untuk perang, tapi keselamatan laluan dagang di perairan negara - Penganalisis

Beliau berkata, jawatankuasa itu ditugaskan memantau secara dekat terutama proses dalam tempoh enam bulan dan melaporkan perkembangannya kepada Kabinet pada setiap bulan.

Beliau pada masa sama turut menegaskan bahawa keputusan meneruskan projek LCS ini tidak bermakna pihak yang terlibat dalam salah laku projek sebelum ini akan terlepas begitu sahaja.

Malah, katanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman dua ketua pegawai eksekutif sebelum ini dan SPRM juga digesa untuk mempercepatkan siasatan.

Katanya, perincian lebih lanjut tentang bagaimana projek ini akan diteruskan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.