KUALA LUMPUR:Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan diwujudkan semula dalam masa akan datang.

Menteri Kanan (Petahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun perkara masih dalam peringkat cadangan selepas mengambil kira kesan baik kepada pembentukan patriotisme remaja.

"Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan mencadangkan supaya PLKN dilaksana semula. Ini juga sesuai dengan perintah menteri yang akan meletakkan Akta PLKN di bawah MINDEF.

"Kita akan sediakan memorandum Jemaah Menteri untuk diluluskan Kabinet," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi MINDEF di Dewan Rakyat pada Selasa.


 
Terdahulu beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mahu tahu mengapa program itu dihentikan dan mencadangkan supaya PLKN diteruskan semula.

Mengulas lanjut dalam sesi penggulungan, Ismail berkata, jurulatih kontrak PLKN yang ditamatkan kontrak ditempatkan di pelbagai agensi dan kementerian bagi tempoh setahun mulai 2019 hingga 2020.

"Tujuan pelantikan ialah bagi memberi peluang kepada pegawai terbabit untuk menampung sara hidup mereka sebelum mendapat pekerjaan lain.

"Bagi cadangan agar pegawai ini diserapkan ke dalam kementerian atau agensi kerajaan lain, perkara ini perlu dirujuk kepada pihak berkuasa melantik seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan sebagainya," kata beliau.

Dalam pada itu, Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) yang membangkitkan isu jurulatih kontrak PLKN yang ditamatkan kontrak dan mencadangkan mereka diserap kementerian atau agensi kerajaan lain.

Justeru, Ismail Sabri berkata, pelantikan kontrak secara 'soft landing' itu membabitkan 1,394 bekas pegawai latihan kontrak Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

Sementara itu, beliau berkata, MINDEF dalam proses penggubalan RUU berkaitan senjata biologi sebagai antara langkah pencegahan dalam negara untuk menangani ancaman pada masa akan datang selain meneliti cadangan peruntukan kewangan untuk penyelidikan berkaitan ancaman senjata biologi.

"Memandangkan penyelidikan ini adalah kompleks, MINDEF sedia bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk melaksanakan penyelidikan bersama dalam menangani ancaman itu," jelasnya.

Beliau menambah, pihaknya juga sudah mengemukakan cadangan peruntukan sebanyak RM607.5 juta di bawah Rancangan Malaysia (RMK) Ke-12 kepada Jabatan Perdana Menteri bagi dipertimbangkan untuk memenuhi pembangunan fasiliti dan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) STRIDE.

"Kelulusan peruntukan ini kelak dapat memenuhi peranan dan fungsi STRIDE untuk membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi keselamatan dan industri pertahanan tempatan. Inisiatif ini selaras dengan Kertas Putih Pertahanan yang bertujuan membangunkan keupayaan berdikari (self-reliance) industri tempatan dan sebagai pemangkin kepada ekonomi negara," katanya.

Menyentuh isu keselamatan Laut Cina Selatan, beliau berkata, Malaysia akan menggunakan saluran diplomasi bagi menghadapi pengaruh ketenteraan negara asing di Laut China Selatan.

"Pendirian Malaysia adalah jelas, bahawa Laut China Selatan perlu bebas daripada kehadiran kapal-kapal perang bagi mengelakkan ketegangan di kawasan berkenaan," ujarnya.