SUNGAI SIPUT: Kerajaan bercadang mewujudkan lebih banyak Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada komuniti itu sebagai nadi penggerak aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan sekitarnya.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata sebagai permulaan, OAOSC Bawong, Sungai Siput yang beroperasi sejak 2021 memberi manfaat kepada kira-kira 7,200 penduduk Orang Asli daripada 39 perkampungan.

Katanya, pusat itu merupakan projek perintis manakala sebuah lagi akan dibina di Gua Musang, Kelantan tahun depan.

"Pusat sehenti ini siap dibina pada 2020 dengan kos RM166.4 juta yang berfungsi merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar selain meningkatkan penglibatan Orang Asli dalam ekonomi, sosial, kebudayaan termasuk memaksimumkan sistem perkhidmatan kerajaan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan OAOSC Bawong, Sungai Siput sempena Sambutan Hari Orang Asli Sedunia 2023 yang disambut 9 Ogos lepas.

Turut hadir Pengerusi Sekreteriat Pembangunan Ekonomi dan Usahawan Masyarakat Orang Asli, Datuk Ramli Mohd Nor, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Sapiah Mohd Nor dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Sementara itu, beliau berkata pengambilalihan tanah untuk OAOSC di Gua Musang telah dilakukan tahun lepas dan kerja-kerja pembinaan bakal dimulakan tahun depan selepas proses penilaian kesesuaian tanah selesai, serta dijangka siap pada 2028.

"Hala tuju penubuhan OAOSC ini mempunyai enam hab operasi iaitu perkhidmatan awam dan swasta, perniagaan, kegiatan belia, pelancongan, pendidikan dan perbankan serta kewangan.

"Saya berkeyakinan bahawa ia dapat melonjakkan aktiviti ekonomi setempat selain memberikan akses dan manfaat khasnya kepada masyarakat Orang Asli untuk mendapatkan (perkhidmatan) yang telah dan akan disediakan," katanya.

OAOSC Bawong terletak di lokasi strategik bersebelahan sekolah, berdekatan tujuh penempatan utama Orang Asli iaitu Kampung Bawong, Pos Perwor, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Legap, Pos Yum, Pos Kuala Mu, Pos Poi dan Pos Piah.

Pusat itu turut menempatkan Pejabat Pentadbiran JAKOA Daerah serta kedai usahawan Orang Asli yang menawarkan pelbagai perkhidmatan antaranya spa, gunting rambut, barangan kraf dan banyak lagi.

-- BERNAMA