Kerajaan bercadang mewujudkan konsep sekurang-kurangnya seorang usahawan bagi setiap keluarga dalam usaha meningkatkan komuniti usahawan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha menambah lebih ramai usahawan baru selaras dengan teras perancangan dilakukan kerajaan.

"Saya ingin mengajak saudara-saudari dan yang di luar sana supaya mewujudkan suatu konsep baru, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Menteri MITI , Tan Sri Al-Amin sebagai Pengerusi SME Corp dan saya serta rakan-rakan dalam kabinet untuk menganjurkan di kalangan kita sekurang-kurangnya seorang usahawan dalam sebuah keluarga.

"Kalau ini kita dapat bina, maka akhirnya masyarakat kita akan mempunyai usahawan yang dibina dari rasa tanggungjawab kepada masayarakat, agama, dan ekonomi kita," katanya semasa berucap pada majlis penutup Kongres Usahawan Muda Bumiputera di sini hari ini.

Ketika ini, katanya, jumlah usahawan baru masih rendah dan perlu diberi perhatian sewajarnya.

"Pada tahun 2013, hanya sekitar satu peratus sahaja graduan lulusan universiti menceburi bidang keusahawanan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

"Pada tahun itu, 776 orang dalam universiti awam terlibat, 259 orang lulusan politeknik, 126 kolej komuniti. Ia masih lagi kecil," ujar beliau.

Keusahawanan ujarnya ialah satu keterampilan yang perlu dibentuk mengikut acuan yang betul.

"Kita tahu bahawa bidang keusahawanan ini tidak wujud kerana legasi iaitu melalui ibu bapa, atau atuk nenek kita," jelasnya.

Tambah beliau lagi, modaliti keusahawanan perlu digerakkan bersama-sama agar ekonomi negara sentiasa dinamik.

"Kita tahu cabarannya lebih hebat tahun hadapan. Apabila harga komoditi termasuk hidrokarbon menjunam turun dan kita kehilangan pendapatan dan kita masih mengharap pelbagai bantuan kerana kita fikir itu hak kita. Tentunya kita lihat apa yang dilontar kerajaan bagi kita tidak pernah mencukupi," katanya.