PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka menjana hasil sebanyak RM206 juta setelah meluluskan permohonan 16 agensi dan syarikat untuk menyertai Program Visa Premium (PVIP) Malaysia dengan kelulusan kuota sebanyak 10,300.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua permohonan yang diterima sejak 1 Okt hingga semalam itu diluluskan oleh Jawatankuasa Pelulus Program PVIP di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau berkata, setiap agensi atau syarikat yang dilantik untuk mengendalikan program PVIP dikehendaki membuat bayaran deposit 10 peratus daripada Fi Penyertaan RM200,000 untuk setiap prinsipal.

"Oleh itu, dengan kelulusan kuota sebanyak 10,300 ini, kerajaan dijangka menjana hasil sebanyak RM206 juta. Deposit ini mesti dibayar oleh ejen dalam masa 30 hari setelah mendapat surat kelulusan daripada Jabatan Imigresen," katanya dalam kenyataan hari ini.

PVIP dilancarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 1 Sept lepas yang bertujuan menarik minat hartawan global melabur serta menetap di negara ini bagi tempoh 20 tahun.

Hamzah berkata, program berkonsepkan Residensi Melalui Pelaburan itu diperkenalkan bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi, menjana pendapatan negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.

Menurut Khairul Dzaimee, PVIP dilaksanakan secara berfasa supaya penilaian yang sewajarnya dapat dilaksanakan dengan fasa pertama hanya 20,000 kuota peserta yang layak akan dibuka.

"Selepas kuota ini dipenuhi, kadar fi penyertaan sebanyak RM200,000 bagi setiap prinsipal akan dikaji semula. PVIP adalah satu program berimpak tinggi bagi menarik pelabur-pelabur asing dan hartawan global," katanya.

Beliau berkata, ejen yang dilantik dan peserta perlu memenuhi syarat yang ketat sebelum kelulusan diberikan oleh Jawatankuasa Pelulus.

Antara syarat ketat itu adalah ejen atau syarikat yang dilantik hendaklah mempunyai modal berbayar sebanyak RM1 juta dan berkeupayaan menjelaskan deposit sebanyak 10 peratus daripada jumlah kuota yang diluluskan.

Khairul Dzaimee berkata, bagi peserta pula, mereka hendaklah mempunyai pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan dan membuat simpanan dalam akaun tetap di bank-bank tempatan sebanyak RM1 juta.

Katanya, senarai ejen yang telah dilantik akan dipamerkan dalam laman web dan media sosial Jabatan Imigresen bagi memudahkan peserta mengemukakan permohonan. - BERNAMA