Kerajaan disaran memberi peluang kepada golongan wanita untuk diserap dalam program misi menghantar angkasawan kedua ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Menyarankan demikian, Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berkata: "Apabila wanita diberi peluang ke ISS, kita juga berharap mereka ini mampu menjadi pemangkin semangat kepada wanita lain untuk mencapai impian mereka (ke angkasa lepas)".

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menunjukkan pakaian angkasa SOKOL kepada pengunjung kompleks Karangkraf di sini, hari ini.

Pakaian tersebut digunakan Sheikh Muszaphar Shukor dalam perjalanannya ke Soyuz TMA-11, sembilan tahun lepas.

Turut hadir pada majlis itu, Angkawasan Rusia Salizhan Sharipov.

Sheikh Muszaphar berkata Program Angkasawan Negara Kedua perlu mempunyai misi yang berbeza supaya ia lebih bermanfaat dan berbaloi.

"Ia bukan perkara yang mudah. Untuk program ini kita memerlukan kos yang sangat besar.

"Program yang kedua perlu berbeza dengan program yang pertama supaya kajian dibuat dapat dimanfaatkan sepenuhnnya selain dilihat berbaloi dengan kos yang dikeluarkan," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Sains, Tekno­logi dan Inovasi (MOSTI) dilaporkan akan mengemukakan cadangan berkenaan program misi menghantar angkasawan kedua ke ISS untuk melakukan penyelidikan saintifik, kepada kerajaan pada penghujung tahun ini.

Timbalan menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata MOSTI kini sedang merangka perinciannya menerusi perjumpaan, perbincangan dan perundingan bersama para saintis, ahli akademik dan mereka yang berkaitan dalam menentukan jenis penyelidikan yang sesuai dilakukan.