Kerajaan sedang memberi fokus memastikan rakyat dapat keluar daripada krisis, selain memulihkan semula keadaan kesihatan dan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini sebanyak RM11.4 bilion disalurkan kepada 10.4 juta penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN), dalam usaha meringankan beban penerima.

Jelas beliau, bantuan-bantuan yang disalurkan kerajaan itu sedikit sebanyak telah memberi manfaat kepada rakyat negara ini ketika berdepan impak COVID-19.

"(Seramai) 68,336 pemandu e-hailing telah menerima elaun tunai RM500 dengan jumlah keseluruhan RM34 juta.

"Seramai 37,127 pemandu teksi, pemandu pelancong dan pemandu bas pesiaran telah menerima elaun tunai RM600 dengan jumlah keseluruhan RM22.2 juta.

"Dari segi bantuan untuk para usahawan, seramai 545,000 usahawan mikro telah menerima Geran Khas Prihatin dengan nilai keseluruhan RM1.6 bilion," katanya, pada Isnin.

Selain itu, Muhyiddin menambah seramai 7,000 penerima turut menikmati kemudahan kredit mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan nilai keseluruhan RM247 juta.

Malah, lebih 23,000 orang menerima kemudahan kredit mikro TEKUN dengan nilai keseluruhan RM177 juta, tambahnya.

"Subsidi upah bernilai RM7.4 bilion juga telah disalurkan. Inisiatif ini telah memberi manfaat kepada 313,000 majikan dan 2.5 juta pekerja di seluruh negara.

"Seramai 65 peratus isi rumah telah menerima manfaat morotarium bayaran balik pinjaman bank dengan nilai keseluruhan RM38.4 bilion," katanya lagi.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan bahawa bantuan-bantuan tersebut hanyalah bersifat sementara.