MALAYSIA
Kerajaan hanya benarkan import daging, ayam, miliki sijil halal patuh piawaian dan standard JAKIM

Tengku Zafrul berkata, dakwaan kononnya Malaysia akan serta-merta mengiktiraf sijil halal AS adalah tidak berasas, bersifat mengelirukan dan berniat jahat. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan hanya akan membenarkan pengimportan daging dan produk daging serta unggas dan produk unggas yang mendapat sijil Halal daripada badan pensijilan halal Amerika Syarikat (AS) yang mematuhi piawaian dan standard halal ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan tidak berkompromi dan akan terus mengekalkan standard Halal yang patuh Syariah bagi memelihara kepentingan pengguna dalam kalangan umat Islam di Malaysia.
"Fasilitasi yang ditawarkan di sini hanya berkaitan pemantauan dan verifikasi yang akan dilaksanakan oleh Badan Pensijilan Halal Amerika Syarikat yang diiktiraf oleh JAKIM," katanya pada sesi penerangan menteri mengenai rundingan perdagangan timbal balas dengan AS, di Dewan Rakyat, hari ini.
Justeru, katanya, dakwaan kononnya Malaysia akan serta-merta mengiktiraf sijil halal AS adalah tidak berasas, bersifat mengelirukan dan berniat jahat, serta tidak mencerminkan fakta sebenar yang telah dipersetujui dalam rundingan tersebut.Tengku Zafrul berkata, rundingan itu juga bersetuju memudah cara proses pensijilan dan pendaftaran fasiliti untuk eksport produk tenusu, daging dan produk daging serta unggas dan produk unggas dari AS ke Malaysia berdasarkan peraturan domestik yang telah ditetapkan.
"Kedua-dua negara turut bersetuju untuk menerima pelaksanaan kaedah 'regionalisation' bagi kawalan penyakit haiwan untuk eksport unggas hidup dan produk unggas dari AS, selain memudah cara proses pengiktirafan standard dan pemasaran produk perindustrian dari AS seperti produk automotif, peranti perubatan dan farmaseutikal berdasarkan peraturan domestik yang telah ditetapkan." katanya.
Menurutnya, rundingan tersebut juga menyaksikan kedua-dua negara bersetuju mempertingkat komitmen dan penguatkuasaan dalam isu hak harta intelek, buruh, alam sekitar dan pengurusan perikanan mampan berdasarkan komitmen Malaysia di pertubuhan antarabangsa yang berkaitan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami