KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi pengiktirafan sepenuhnya fungsi dan kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, seperti mana yang termaktub di bawah Seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, kata Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata, kenyataan beliau sebelum ini berhubung peranan kerajaan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berhubung hal berkaitan, telah dipetik di luar konteks yang sepatutnya.

Tegasnya lagi, kerajaan akan sentiasa mematuhi segala peruntukan undang-undang dalam melaksanakan tanggungjawabnya semasa membuat sebarang keputusan mengenai darurat.

“(Ini) termasuk mengiktiraf segala mekanisme yang wujud secara sah di sisi undang-undang. Dengan kata lain kerajaan mengiktiraf sepenuhnya kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas yang diwujudkan di bawah Seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

“Kerajaan juga tidak pernah campur tangan dalam sebarang urusan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, sebaliknya, memberikan sepenuh kerjasama supaya jawatankuasa ini dapat melaksanakan fungsinya sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 2,” katanya lagi.

BACA: Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat: Saifuddin gesa Takiyuddin beri penjelasan segera

BACA: Ini penghinaan kepada Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat - Noh Omar

Untuk rekod, Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 berbunyi: - “Maka hendaklah ditubuhkan suatu jawatankuasa khas bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)”.

Dalam kenyataannya semalam, Takiyuddin berkata, Proklamasi Darurat telah diisytiharkan 11 Januari lepas oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak di atas nasihat Jemaah Menteri selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau lagi, nasihat Jemaah Menteri itu adalah atas asas tanggungjawab utama dan khusus kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 bagi memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat dapat terus dipelihara.

Selain itu, Takiyuddin berkata, adalah menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara, dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

Bagaimanapun, kenyataan beliau mendapat kritikan pemimpin kanan parti politik, termasuk dari UMNO dan Pakatan Harapan, kerana seolah-olah mengabaikan kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, yang mempunyai tugas khusus untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kenyataan awal Takiyuddin itu menimbulkan tanda tanya, terutamanya fungsi Jawatankuasa berkenaan, serta mendakwa ia seolah-olah mengalihkan tiang gol.

Bagaimanapun, ciapan Ahli Parlimen Pengerang itu dibalas Takiyuddin, yang berkata, kenyataan beliau semata-mata untuk membetulkan “peraturan permainan” supaya membantu “referee” buat pengadilan yang betul.



Dipercayai “Referee” yang Takiyuddin maksudkan, merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata lanjut, kerajaan akan terus berperanan menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan semasa tempoh darurat berkuatkuasa sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen 11, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

“Justeru dalam keadaan negara kita masih lagi berperang dengan pandemik COVID-19 ini, sebaiknya semua pihak perlu akur kepada fungsi masing-masing yang ditetapkan di bawah kerangka perundangan sedia ada,” katanya lagi.