KUALA LUMPUR : Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan peranannya dalam Ahli Jawatankausa Khas Bebas Darurat 2021 sekiranya keputusan darurat dilanjutkan atau tidak berdasarkan nasihat jemaah menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ini susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang memaklumkan menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

Justeru itu, Saifuddin yang juga ahli jawatankuasa tersebut menimbulkan tiga persoalan utama termasuk apakah fungsi dan keperluan ia diwujudkan sekiranya keputusan adalah berdasarkan nasihat jemaah menteri.

"Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Takiyuddin Hasan mengenai Jemaah Menteri yang akan menasihati Tuanku Yang di-Pertuan Agong samada darurat perlu dilanjutkan atau tidak sebagai reaksi terhadap kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

"Sedia maklum bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan peranan atau tugas menasihati Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan kepada Jemaah Menteri sesuai Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan yakni KDYMM Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat.

"Berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 ini diperuntukkan penubuhan jawatankuasa Khas Bebas Darurat. Dengan penubuhan ini kerajaan telah membuat pengecualian untuk Jawatankuasa ini menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai darurat berbanding dalam keadaan biasa peranan menasihati ini adalah peranan Jemaah Menteri.

"Jawatankuasa ini memikul tanggungjawab yang sangat jelas dan spesifik iaitulah “menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya”," tegasnya.

Maka sehingga sekarang, jawatankuasa tersebut masih wujud dan berfungsi menjalankan tugas dengan matlamat akhirya mempersembahkan laporan kepada Agong.

Berikut adalah persoalan yang disuarakan Saifuddin;

• Apakah fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang tarikh darurat ditamat atau disambung kini diambilalih oleh Jemaah Menteri?

• Apakah ini bermaksud ketika darurat berjalan di bawah kuasa Ordinan Darurat 2021 sekalipun, kuasa Jemaah Menteri menasihati KDYMM Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan dianggap terpakai termasuk dalam perkara menamatkan atau melanjutkan tempoh darurat?

• Jika itu benar apa keperluan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini diujudkan?

Justeru itu, sebagai seorang ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dilantik oleh Agong beliau memohon agar segera tampil memberikan penjelasan.

Hal ini tegasnya akan membantu untuk membuat keputusan bersabit kedudukan dan peranan saya dalam jawatankuasa ini.

Sebelum ini Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkaitan tempoh darurat.

BACA: Ini penghinaan kepada Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat - Noh Omar

Kata Tan Sri Noh Omar kenyataan Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu dianggap satu penghinaan kepada Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.