NATIONAL
Kerajaan jamin harga RON95 tidak dinaikkan - PM

Anwar menyampaikan ucapan pada sesi penggulungan sempena Kongres Nasional PKR 2025 di Persada Johor International Convention Centre pada Sabtu. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Kerajaan memberi jaminan bahawa harga petrol RON95 tidak akan dinaikkan untuk rakyat, walaupun cadangan berkenaan pernah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat gesaan supaya harga RON95 dinaikkan, namun beliau tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Menurutnya, sebarang pelarasan subsidi hanya akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan harga pasaran.
“Saya sedang fikirkan isu subsidi petrol RON95. Ada yang minta harganya dinaikkan untuk rakyat.“Namun saya tidak setuju. Kalau mahu dilakukan, pelarasan harga RON95 perlu diturunkan sedikit demi sedikit mengikut masa dan harga pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sebagai Presiden PKR pada hari terakhir Kongres PKR Johor 2025 pada Sabtu.
Menurut Anwar, subsidi petrol sepatutnya disasarkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan bukan dinikmati oleh warga asing serta golongan maha kaya.
“Orang asing nikmati RM3 hingga RM4 bilion subsidi. Mungkin selepas ini, nak beli petrol RON95 kena tunjuk kad pengenalan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa harga petrol bagi kira-kira empat juta warga asing di negara ini perlu dinaikkan.
Terdahulu, ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, Anwar memaklumkan bahawa penyasaran subsidi RON95 dijangka dilaksanakan pertengahan tahun ini bagi menjimatkan sehingga RM8 bilion. Ini kerana 40 peratus subsidi kini dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Penjimatan tersebut, katanya, akan digunakan semula bagi meningkatkan kemudahan dalam sektor pendidikan, kesihatan dan pengangkutan awam.
“Mana ada negara yang beri subsidi petrol kepada golongan maha kaya, termasuk pemilik kereta mewah seperti Rolls-Royce. Tapi di negara ini, golongan lima peratus ini pula minta subsidi dikekalkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar turut memberi jaminan akan meneliti semula pelaksanaan subsidi gas dan gas asli cecair (LNG) agar tidak membebankan syarikat kecil yang terkesan.
Beliau turut menyentuh pelaksanaan e-Invois yang disifatkan penting bagi memastikan negara tidak kehilangan hasil, namun akan dikaji semula sekiranya terdapat kelemahan dalam pelaksanaannya.
Pada masa sama, Anwar menegur kelemahan penyampaian maklumat oleh parti berkaitan subsidi elektrik, sedangkan majoriti rakyat tidak terkesan dengan pelaksanaannya.
“Malaysia adalah antara negara paling tinggi memberikan subsidi. Subsidi elektrik sebanyak 85 peratus tidak jejaskan rakyat, namun cara kita sampaikan maklumat amat lemah,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami