Kerajaan akan mengkaji taraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang kini tidak diiktiraf di peringkat kebangsaan berikutan konflik yang dihadapi sistem pendidikan di negeri-negeri lain selain daripada negeri Sarawak yang satu-satunya mengiktikraf sijil tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan mengarahkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh agar meneliti dengan lebih mendalam dan membuat saranan berhubung sijil tersebut yang kini tidak diiktiraf di peringkat kebangsaan.

"Sebaik sahaja menerima cadangan-cadangan itu, kita boleh membawa perkara tersebut untuk dibincangkan ke peringkat Kabinet bagi membuat keputusan.

"Saya juga faham bahawa masalah pengiktirafan kepada UEC adalah suatu perkara yamg belum dapat diselesaikan. Saya tahu bahawa Allahyarham Tan Sri Adenan Satem telah komited mengenai perkara ini.

"Saya akan membawa perkara ini kepada Menteri Pendidikan dan memintanya untuk meneliti secara mendalam terhadap pengiktirafan ini dan meminta beliau memberitahu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dibawa ke kabinet bagi keputusan terhadap penelitian kepada kajian ini," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Tahun Baru Cina 2017 di Hotel Imperial Kuching pada Jumaat.

BACA: Abang Johari akan terus iktiraf UEC dan bantu sekolah Cina

BACA: UEC boleh diiktiraf jika turut syarat kerajaan - Idris Jusoh


Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid memaklumkan penubuhan sebuah unit khas di bawah Kementerian Dalam Negeri serta dikelola penuh oleh Jabatan Pendaftaran Negara bagi menyelesaikan isu atau permasalahan kewarganegaraan yang dihadapi kaum cina di negeri Sarawak khususnya di bahagian pedalaman.

Ahmad Zahid menambah, beliau sangat komited mengenai isu warganegara dan berjanji ia akan segera diselesaikan dengan segera.