Kerajaan sedang mempertimbang mewujudkan Rang Undang-Undang berkaitan Suruhanjaya Keharmornian dan Rekonsiliasi Nasional bagi menangani isu sentimen perkauman, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.

Mohamed Hanipa berkata pada masa ini beberapa pindaan terhadap draf yang disediakan oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) itu sedang diusahakan dengan mengambil kira kewujudan lain-lain model suruhanjaya serta skop bidang kuasa daripada beberapa negara luar.

Beliau berkata selain itu satu jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan bagi meneliti penubuhan suruhanjaya bebas itu, sama ada cadangan tersebut bertindih dengan peruntukan undang-undang sedia ada sebelum mengemukakan syor kepada kerajaan untuk penubuhannya.

"Saya yakin pihak pembangkang juga akan dikonsultasikan dalam perkara ini," katanya semasa menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2020 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Selasa.

BACA: 'Suhu panas' berkaitan isu 3R harus diredakan - Muhyiddin

BACA: Jangan guna unsur perkauman, sentimen agama semasa berkempen - SPR

Sementara itu, beliau berkata kerajaan tidak menetapkan sebarang kuota agama, kaum, etnik atau negeri tertentu dalam pelantikan anggota ke perkhidmatan awam, sebaliknya dilaksanakan berasaskan merit dan kompetensi seseorang calon itu.

Mohamed Hanipa berkata semua warga Malaysia mempunyai peluang yang sama untuk dipertimbangkan memasuki perkhidmatan awam dalam persaingan yang terbuka dan adil.

Beliau berkata statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dari 2014 hingga 2018 mendapati kaum Melayu paling ramai berminat dan mendaftar dengan SPA untuk bekerja dalam perkhidmatan awam iaitu sebanyak 79.45 peratus diikuti Bumiputera Sabah (7.7 peratus), Bumiputera Sarawak (5.5 peratus), India (3.3) peratus dan kaum Cina (1.7) dan Orang Asli (0.24 peratus).

SPA juga berpandangan kaedah pengambilan berdasarkan merit yang diamalkan pada masa ini memang mampu memberi peluang yang adil kepada semua calon tanpa mengira agama, etnik, kaum atau negeri tertentu di samping dapat memastikan calon berkualiti sahaja dilantik, katanya.

-- BERNAMA