PETALING JAYA: Kerajaan sedang mengkaji semula proses dan sistem sedia ada ke arah melaksanakan peralihan sepenuhnya bagi urusan permohonan perniagaan secara dalam talian agar usahawan tidak lagi perlu membuang masa menghubungi pegawai berkaitan untuk memperoleh maklumat terkini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata prosedur yang tidak perlu akan dihapuskan bagi mengurangkan beban pentadbiran yang ditanggung oleh sektor perniagaan sekali gus memastikan penggunaan masa dan kos yang lebih cekap serta mengurangkan ruang berlakunya rasuah secara ketara.
Ketika berucap pada Majlis Pelantikan dan Malam Ulang Tahun ke-34 Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia (MRCA) di sini, Hannah berkata jika sektor perniagaan diharapkan untuk menyesuaikan diri serta melakukan penambahbaikan, kerajaan juga perlu bersedia meningkatkan sistem penyampaiannya.
“Saya mungkin tidak mempunyai wang tunai untuk diberikan kepada anda namun saya berjanji akan mengkaji semula dan membanteras rasuah, menghapuskan proses yang tidak perlu supaya anda boleh menjimatkan wang serta memudahkan urusan perniagaan untuk semua. Anda sudah cukup terbeban dengan pelbagai cabaran perniagaan secara dalam talian dan trend global,” katanya.
Beliau berkata beberapa perubahan pentadbiran yang praktikal sudah dilaksanakan untuk memberikan lebih kepastian kepada pemilik perniagaan.
Sebagai contoh, Hannah berkata lesen perniagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada mereka yang layak boleh diperbaharui hingga tiga tahun, dan perniagaan yang memilih untuk memperbaharui selama dua tahun akan menerima diskaun sebanyak lima peratus manakala pembaharuan bagi tempoh tiga tahun pula menawarkan diskaun 10 peratus.
Bagi menggalakkan sektor hiburan dan penganjuran acara di Kuala Lumpur, beliau berkata kadar deposit untuk konsert serta persembahan tempatan telah dikurangkan dengan ketara, iaitu sebanyak 70 peratus.
Menyentuh mengenai landskap peruncitan yang semakin berubah, Hannah menggesa peruncit yang menjalankan perniagaan secara fizikal supaya menyesuaikan diri seiring perubahan tingkah laku pengguna dengan menjadikan pusat beli-belah sebagai hab komuniti yang menawarkan pengalaman makanan, budaya dan hiburan yang lebih dinamik.
Beliau turut menasihati perniagaan tradisional agar menimbangkan pengambilan pekerja muda bagi membantu proses pendigitalan sambil mengambil maklum bahawa golongan muda dan warga emas kini semakin aktif menggunakan e-dompet serta platform pembelian secara dalam talian.
-- BERNAMA