PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir hari ini menegaskan bahawa kerajaan komited untuk melindungi kebebasan akademik dan memupuk wacana intelektual.
Beliau berkata institusi pengajian tinggi akan kekal sebagai ruang untuk membahaskan pelbagai idea secara terbuka, hormat dan bertanggungjawab supaya ilmu pengetahuan dapat dikembangkan melalui dialog merentasi sempadan, disiplin dan perspektif.
“Sebagai sebuah komuniti universiti dan kementerian yang diamanahkan untuk mencorakkan masa depan pendidikan tinggi, kami percaya bahawa kebebasan akademik membawa bersamanya tanggungjawab intelektual.
“Kami menggalakkan perdebatan membina secara tertib dan sopan, menghormati pandangan yang berbeza,” katanya menerusi ucapan alu-aluan beliau pada majlis syarahan umum bertajuk Muslim Identity in a Globalised World (Identiti Muslim dalam Dunia Global) oleh Prof Dr Joseph A. Massad daripada Universiti Columbia, di sini, hari ini.
Zambry berkata latar belakang masyarakat majmuk dan kepelbagaian budaya di Malaysia menjadikannya lebih penting lagi untuk menggalakkan dialog bermaklumat dan persefahaman bersama melalui penglibatan secara ilmiah.
Beliau berkata walaupun perbezaan pendapat tidak dapat dielakkan, terutamanya dalam era kecerdasan buatan (AI) dan media sosial, rakyat Malaysia telah lama mendukung prinsip menghormati pandangan yang berbeza.
"Kita berselisih pendapat. Kita berselisih dalam banyak perkara, tetapi kita juga bersependapat dalam banyak perkara," katanya.
Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi akan terus mengalu-alukan kehadiran ilmuan terkemuka dari seluruh dunia sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi Malaysia dan menggalakkan pertukaran idea mengenai isu penting global.
-- BERNAMA