KUALA LUMPUR : Kerajaan komited untuk menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak sebagai suatu badan bebas yang dapat memantau dan memelihara hak kanak-kanak di Malaysia. 

Pejabat Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dalam satu kenyataan berkata, penubuhan suruhanjaya itu bagaimanapun memerlukan pandangan pelbagai pemegang taruh dan  penggubalan suatu akta.

Kenyataan itu menyebut, sebagai penyelesaian jangka masa pendek, kerajaan berhasrat untuk mewujudkan pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah  Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Dalam pada itu, satu sesi libat urus telah diadakan  pada Isnin di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia yang dihadiri pihak-pihak berkepentingan daripada wakil-wakil agensi kerajaan, ahli akademik, dan Masyarakat Sivil berkaitan isu kanak-kanak.

Sesi libat urus tersebut bertujuan untuk mendapatkan cadangan, pandangan dan maklum balas berkaitan cadangan pindaan terhadap Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676).

"Sesi libat urus ini dimulakan dengan ucapan di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan disusuli dengan pembentangan daripada Pesuruhjaya Suhakam, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal, Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Dr Farah Nini Dusuki dan Pakar Perlindungan Kanak-Kanak, UNICEF Malaysia, Selvi Supramaniam," kata kenyataan itu pada Isnin.

Berikut antara isu yang telah dibincangkan dalam sesi libat urus:

1) Cabaran yang dihadapi semasa siasatan, proses pendakwaan, perbicaraan dan pasca perbicaraan bagi kes jenayah yang melibatkan mangsa dan saksi kanak-kanak.

2) Keperluan untuk menambah baik fasiliti yang sedia ada di Mahkamah.

3) Penyelarasan umur kanak-kanak kepada 18 tahun dalam akta-akta berkaitan.

4) Penerimaan keterangan saksi kanak-kanak oleh mahkamah tanpa keterangan sokongan.

5) Peruntukan undang-undang yang baharu untuk membendung eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak, pembayaran pampasan oleh tertuduh kepada mangsa, bantuan pemulihan untuk mangsa dan saksi kanak-kanak serta memperkasakan perkhidmatan pendamping guaman sedia ada.

6) Kewujudan elemen tanggungan keras dalam undang-undang berkaitan kesalahan seksual kanak-kanak dalam keadaan tertentu.

7) Pemberian kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengekstrak keterangan daripada alat digital dan komunikasi.