Kerajaan akan melancarkan kempen Pembudayaan Norma Baharu bagi memastikan setiap rakyat di negara ini terus mengikut prosedur operasi Standard (SOP) dalam keadaan pandemik COVID-19.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kempen itu akan dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Sukan Pagoh, pada 8 Ogos ini.

"Pada masa yang sama, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan melancarkan logo dan tagline kempen ini serta buku Pembudayaan Norma Baharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Seperti kita tahu, ramai rakyat sudah rasa selesa, alpa dengan SOP dan norma baharu ini. Maka kerajaan lancarkan kempen supaya norma baharu ini menjadi sebahagian budaya kita," katanya dalam sidang media pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Permulihan (PKPP) pada Khamis.

Tambah Ismail Sabri, kempen itu dijangka mampu mengurangkan jumlah rakyat yang ingkar kepada arahan PKP dan norma baharu yang ditetapkan kerajaan.

Semalam, seramai 121 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk kesalahan menjalankan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai dan menyukarkan penjarakan fizikal.

Daripada jumlah itu, 32 individu direman, dua individu diberi jaminan dan 87 yang lain dikenakan kompaun.