KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menyifatkan prosiding mahkamah yang dihadapinya sebagai peluang untuk membersihkan namanya berhubung tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Jamil Khir, 65, berkata beliau akan membela diri di mahkamah dan yakin proses perundangan itu akan memberikan keadilan terbaik kepadanya.
“Saya akan membela diri saya dalam mahkamah nanti. Saya anggap ini peluang untuk membersihkan diri (nama) saya. Ini tempat yang terbaik untuk mendapat keadilan.
“Saya percaya, mahkamah akan memberi yang terbaik (keadilan),” katanya ketika ditemui selepas selesai prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Jerai itu didakwa menyebabkan Lembaga TH melupuskan harta miliknya, iaitu wang RM42,942,074 bersamaan SAR44.17 juta, RM288,172,134.64 (SAR250,041,622) dan RM529,194,561.87 (SAR471,848,615) kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd.
Menjelaskan pertuduhan yang dihadapinya, Jamil Khir berkata ia berkaitan sewaan hotel, yang menurutnya merupakan perkara penting dalam pengurusan TH.
Terdahulu, Jamil Khir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan berkaitan siasatan RCI TH dan diikat jamin RM300,000.