ALOR GAJAH: Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) akan diteruskan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir Melaka pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia termasuk pelaksanaan program menyantuni rakyat yang lain, iaitu Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Hari Exco Bertemu Rakyat.
Beliau berkata, kesemua program berkenaan akan menjadi sebahagian daripada prosedur operasi standard kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN dalam menyelesaikan semua isu atau permasalahan rakyat, sekali gus memastikan kebajikan rakyat diberi keutamaan.
“Kami (BN) akan meneruskan program WRUR ini selepas diberi mandat oleh rakyat pada PRN akan datang. Ini kerana kami lihat inisiatif ini memberi impak yang cukup besar dan positif kepada rakyat dalam menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi mereka.
“Program WRUR adalah platform penting bagi kerajaan negeri bersama pelbagai agensi dan jabatan mendengar keluhan, rintihan, cadangan dan pandangan daripada rakyat untuk diperhalusi serta dipertimbangkan dalam merangka perancangan negeri Melaka pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Program WRUR Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita (Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara) dan Majlis Penutupan Karnival Falak Peringkat Kebangsaan 2026.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, sepanjang 27 siri program WRUR yang berlangsung sebelum ini, hampir 5,000 aduan diterima dan 3,700 aduan atau 75 peratus daripada jumlah itu berjaya diselesaikan.
Beliau berkata, pencapaian itu bukan sekadar angka atau statistik tetapi membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyelesaikan aduan rakyat, sekali gus memudahkan urusan serta meringankan beban mereka.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, program WRUR DUN Tanjung Bidara yang juga siri ke-28 atau terakhir sejak dilaksanakan dua tahun lepas menjadi kemuncak perjalanan sebuah kerajaan negeri dalam merakyatkan pentadbiran dan mendekatkan perkhidmatan terus ke akar umbi.
“Untuk DUN terakhir ini, sudah tentu saya mahu program WRUR Tanjung Bidara disempurnakan dengan sebaik mungkin... bukan kerana DUN ini adalah DUN Ketua Menteri tetapi kerana di mana pun kita berada dan siapa pun wakil rakyatnya, hak rakyat untuk disantuni serta menerima khidmat terbaik tetap sama.
“Justeru, sepanjang program WRUR Tanjung Bidara yang berlangsung bermula hari ini hingga 20 Sept, lebih 78 program disusun melibatkan penyertaan pelbagai peringkat masyarakat seperti anak-anak, pelajar, belia, warga emas, komuniti orang kurang upaya, institusi agama, persatuan sukan dan peniaga,” katanya.
Beliau berkata, ia termasuk program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Tanjung Bidara, Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Festival Seni Selat dan Festival Sungai Melaka 2026.
-- BERNAMA