SHAH ALAM: Kerajaan MADANI tetap mengutamakan kepentingan bumiputera sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu jelas dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kedudukan bumiputera.
"Malaysia ada Perlembagaan yang jelas. Siapa pun jadi pemimpin, tidak boleh merungkai Perlembagaan kita.
"Jadi jangan fikir kita seolah-olah pinggirkan (bumiputera)," katanya dalam ucaptama Himpunan Mesra Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM), pada Sabtu.
Anwar berkata, perkara itu turut dapat dilihat menerusi peruntukan kepada UiTM, apabila kerajaan memperuntukkan RM3.08 bilion bagi 2026 meliputi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, berbanding kurang RM2 bilion ketika pentadbiran sebelum ini.
Tegasnya, peruntukan yang meningkat adalah salah satu bukti usaha kerajaan memberi perhatian kepada agenda pembangunan bumiputera.
"Pendirian kita tentang dasar pembangunan bumiputera terus diberi perhatian. Dalam Kerajaan MADANI, (perhatian itu) jauh lebih baik dan tinggi daripada pimpinan sebelum ini.
"Kepentingan majoriti dan bumiputera tidak diketepikan," katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata penekanan terhadap agenda bumiputera perlu disertai pengurusan dana yang berintegriti bagi memastikan setiap peruntukan kerajaan digunakan dengan sebaiknya.
"Saya cuma lebih keras untuk pastikan setiap ringgit dalam agensi tidak boleh dikhianati," katanya.
Beliau berkata kerajaan juga akan menilai prestasi dan peranan agensi bumiputera, termasuk UiTM, bagi memastikan institusi berkenaan terus diperkasakan.
"Saya telah cadangkan kepada pengerusi, pilih tujuh hingga 10 daripada alumni UiTM. Saya akan beri peluang (kepada mereka) untuk nilai prestasi dan peranan agensi bumiputera termasuk UiTM.
“Semua cadangan kita akan beri perhatian untuk dipertingkat," katanya.