JOHOR BAHRU: Kerajaan Malaysia dan Singapura akan mengiktiraf sijil vaksinasi negara masing-masing bagi memudahkan pergerakan sempadan kedua-dua negara dalam tempoh terdekat. 

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sudah berhubung dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong bagi membincangkan perkara tersebut.

Bagaimanapun, kata Muhyddin perbincangan berkenaan masih di peringkat awal dan ianya akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Kita pun hendak ke sana kerana hubungan kita dengan Singapura rapat dan memang urusan perniagaan dan urusan lain begitu rapat, tiap-tiap hari kita berurusan dengan mereka dan mereka berurus dengan kita tetapi bila sempadan tidak dibuka lagi jadi masalah besar,” kata Muhyiddin.

“Yang boleh dibuka ialah kenderaan-kenderaan lori yang dibawa masuk dan ia dibenarkan untuk disuntik disana, jadi ini antara perkara yang akan kita perlu perhalusi bila mana ia dianggap sesuai dan Singapura turut bersetuju.

"Vaksinasi sudah sampai ke peringkat yang lengkap, sijil (vaksinasi Malaysia) dan sijil (vaksinasi Singapura) turut diiktiraf dan ini secara bersama-sama (mutual) akan membolehkan pergerakan antara dua negara dan sempadan lain pun akan dibuka," tambah Ahli Parlimen Pagoh itu. 


[TERKINI] Malaysia-Singapura | Iktiraf sijil vaksinasi mudahkan rentas sempadan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pimpinan Bersatu Johor di pejabat Bersatu bahagian Pagoh.

Jelasnya, perkara itu semua akan diambil kira apabila situasi vaksinasi sudah meningkat dan keadaan negara sudah selamat.

Katanya, keputusan itu juga memerlukan  penelitian khusus membabitkan data, Sains serta pandangan daripada pakar-pakar diperingkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta soal keselamatan sempadan dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).