Kerajaan mungkin memperkenal subsidi petrol berasaskan kuota bagi memastikan peruntukan yang lebih bersasar.

Pengarah Ketua Pengarah Serantau, Perkhidmatan Perbankan Pelaburan dan Permodalan Ekuiti Pasaran Korporat RHB Investment Bank Bhd, Gan Kim Khoon berkata MyKad akan digunakan untuk pengenalan dan kuota tertentu atau kuantiti akan diperuntukkan bagi mengelak salah guna subsidi oleh golongan berada.

"Inilah sebabnya pada pendapat saya kerajaan mengambil masa lebih panjang untuk memperkenalkannya (struktur baharu subsidi petrol) kerana ia membabitkan banyak perubahan pada pam atau sistem pembayaran.

"Ia juga akan membabitkan banyak perubahan perisian," katanya pada Seminar Deloitte TaxMax di sini, hari ini.

Seminar bajet tahunan itu yang menarik lebih 400 peserta menawarkan penelitian mendalam Bajet 2015, isu pemindahan harga, cukai korporat dan bidang lain berkaitan pengurusan cukai.