Skip to main content

Malaysia

Kerajaan negeri pantau rapi penularan ajaran sesat di Perak

61744794427_SaaraniMohamad.jpg
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata  setiap aduan dan keraguan diterima daripada orang ramai berhubung ajaran atau amalan yang didakwa bercanggah dengan ajaran Islam akan disiasat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Jabatan Mufti Perak. - Gambar fail
Advertisement

IPOH: Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sentiasa memantau perkembangan ajaran sesat di Perak khususnya penularan menerusi platform digital dan rentas sempadan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata  setiap aduan dan keraguan diterima daripada orang ramai berhubung ajaran atau amalan yang didakwa bercanggah dengan ajaran Islam akan disiasat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Jabatan Mufti Perak.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri itu berkata kedua-dua agensi itu akan menjalankan siasatan mengikut prosedur ditetapkan sebelum sebarang tindakan diambil.

"Malahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak (Sultan Nazrin Shah) selaku ketua agama negeri pun mengambil maklum dan baru-baru ini Timbalan Mufti (Datuk Zamri Hashim) dan juga Pengarah JAIPk (Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim) memberi taklimat kepada Sultan Perak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak di Taman Lapangan Terbang yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed di sini pada Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan dilaporkan berkata kerajaan memperkukuh kerjasama rentas agensi menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan bagi membendung penularan ajaran sesat yang semakin banyak disebarkan melalui platform digital dan rentas sempadan.

Zulkifli berkata kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa proaktif, konsisten dan tegas memantau serta mengambil tindakan terhadap mana-mana doktrin atau dakyah yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau berkata cabaran penguatkuasaan kini semakin kompleks apabila penyebaran ajaran sesat beralih daripada pertemuan fizikal secara rahsia kepada penggunaan media sosial dan aplikasi pesanan, selain berselindung di sebalik program pembangunan kendiri, aktiviti kebajikan, rawatan alternatif serta pengajian agama tidak formal.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement