Kerajaan Selangor telah meminta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mendapatkan laporan terperinci insiden serbuan dan perampasan kitab Bible oleh kakitangan bahagian penguatkuasa jabatan itu terhadap pejabat Bible Society Malaysia (BSM) pada Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Salehen Mukhyi berkata kerajaan negeri begitu memandang serius dengan apa yang telah terjadi.

“Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk meneliti dan menyemak operasi yang dijalankan kerana ianya merupakan perihal pentadbiran dan melibatkan jabatan dan pegawai kerajaan.,” kata Selehen dalam satu kenyataan akhbar.

Semakan hendaklah antara lain memastikan pegawai penguatkuasa yang menjalankan operasi tersebut mematuhi SOP yang telah disediakan oleh JAIS dan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat kecuaian dan pelanggaran peraturan.

“Saya juga akan mengadakan perjumpaan dengan Editor The Herald, Lawrence Andrew pada Selasa ini bagi membincangkan isu larangan menggunakan kalimah Allah bagi bukan Islam seperti yang dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor,” katanya lagi.

Pendirian Kerajaan Negeri selari dengan titah DYMM Sultan Selangor bahawa semua pihak perlu menghormati agama Islam sebagai agama rasmi manakala masyarakat bukan Islam bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Semua rakyat Selangor tidak kira agama atau kaum mesti mematuhinya bagi menjamin kelangsungan hidup berharmoni, bekerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain yang telah terjalin sejak sekian lama.

Ia merupakan kejadian kedua yang melibatkan JAIS dan penganut Kristian selepas pemeriksaan mengejut terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada tahun lalu.

Selepas kejadian tersebut kerajaan negeri telah meminta JAIS menyediakan Standard of Operation (SOP) dalam menangani isu-isu sensitif seperti ini bagi mengelak berlaku salah faham dan buruk sangka.