SEREMBAN: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan hari ini mencadangkan supaya kerajaan negeri membentuk satu jawatankuasa bertindak bagi menangani perubahan iklim terutama bencana banjir yang tidak dijangka pada masa hadapan.

ADUN Chennah Anthony Loke Siew Fook berkata pendekatan holistik itu perlu segera dilakukan dengan portfolio khusus berhubung dasar menanganinya perlu dilaksanakan melalui penglibatan pelbagai agensi termasuk jabatan meteorologi, jabatan alam sekitar dan jabatan kerja raya.

"Kalau dulu kita biasa hadapi banjir kilat sahaja, tapi tidak pernah lihat skala banjir yang begitu besar seperti Disember lepas... Jelebu tempat paling kering, tetapi hujan lebat dalam kuantiti banyak dan dalam masa beberapa bulan juga beberapa banjir besar berlaku.

"Hujan lebat bukan sahaja menyebabkan banjir tetapi tanah runtuh sehingga membahayakan penduduk dan semua bencana ini menjurus kepada masalah besar dan global iaitu perubahan iklim yang akan memberi kesan kepada semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan Ke-14 di sini.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban itu berkata penubuhan jawatankuasa berkenaan penting bagi melihat serta merancang tindakan awal sebelum dan selepas bencana berlaku sekali gus dapat meminimumkan impak kepada penduduk dan alam sekitar.

Beliau berkata kerajaan negeri juga perlu mengambil langkah proaktif untuk menyemak dan memperbaiki kembali struktur jawatankuasa bencana supaya lebih banyak koordinasi antara jabatan seterusnya bantuan dapat diberikan kepada mangsa dengan cepat.

Sementara itu, Loke yang juga Setiausaha Agung DAP itu turut mencadangkan supaya satu undang-undang khusus berkaitan antilompat parti diwujudkan di peringkat kerajaan Negeri Sembilan bagi melarang mana-mana wakil rakyat sama ada dari blok kerajaan dan pembangkang daripada keluar parti.

Beliau berkata walaupun kerajaan Negeri Sembilan tidak berlaku perubahan sejak 2018 dan tiada ADUN melompat parti, namun perlu ada jaminan undang-undang supaya kerajaan negeri yang dibentuk dapat dipertahankan sepanjang tempoh mandat diberikan.

"Saya mahu saran dan nyatakan di sini supaya kerajaan negeri perlu ambil langkah segera untuk gubal undang-undang itu sama ada melalui pindaan kepada undang-undang tubuh kerajaan Negeri Sembilan," katanya.

Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA