Kerajaan P.Pinang ambil tindakan atasi isu kesalinghubungan feri-rel

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri memberi jaminan sedang meneliti kebimbangan berkenaan yang diakui berasas. - Gambar fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyedari kebimbangan ramai mengenai isu kesalinghubungan antara perkhidmatan feri dan rangkaian rel di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Butterworth.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri memberi jaminan sedang meneliti kebimbangan berkenaan yang diakui berasas.
"Exco terlibat bersama agensi berkaitan sudah mengambil beberapa tindakan, termasuk menaik taraf Stesen KTM Butterworth serta kemudahan di sekitarnya.
"Stesen ini merupakan pintu masuk utama ke Pulau Pinang, khususnya bagi pelancong domestik yang tiba menggunakan kereta api sebelum menyeberang ke pulau. Tanggapan awal yang positif bermula di situ dan penting untuk kita melaksanakannya dengan baik," katanya pada majlis perasmian Hotel Iconic Majorie di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan turut hadir isteri beliau Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.
Media sebelum ini melaporkan isu berkaitan kelemahan kesalinghubungan antara perkhidmatan kereta api dengan feri di sini yang menjadi rungutan ramai.
Berdasarkan laporan itu, perjalanan transit yang sepatutnya lancar sebaliknya bertukar menjadi sebuah laluan mencabar dengan jarak yang jauh, tangga curam serta lif yang kadangkala bermasalah.
Sementara itu, Chow berkata Pulau Pinang muncul sebagai hab utama pelancongan perubatan seiring dengan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026, disokong oleh institusi kesihatan yang kukuh serta keyakinan antarabangsa.
Beliau berkata Pulau Pinang menerima 449,289 pesakit dari pelbagai negara tahun lepas, dan hotel seperti Iconic Marjorie Penang mampu menjadi pilihan pengunjung berserta keluarga mereka.
"Walaupun angka ini menggalakkan, yang lebih penting ialah bagaimana pertumbuhan pelancongan diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat, iaitu lebih banyak peluang pekerjaan, perniagaan yang lebih kukuh dan ekonomi yang lebih berdaya tahan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


