Bapa lemas selepas selamatkan anak di Sungai Lebir

Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas berjaya menyelamatkan anaknya yang dihanyutkan arus di Sungai Lebir petang tadi. - Foto Sinar Harian
GUA MUSANG: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas berjaya menyelamatkan anaknya yang dihanyutkan arus di Sungai Lebir di sini petang tadi.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pegawai Bomba Kanan I Nik Mohd Fakri Md Nawi berkata mangsa yang dikenali Mohamad Fakarudin Abdul Halim @ Awang, 40, bersama anaknya berusia tujuh tahun mandi di sungai berkenaan berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir.
"Berdasarkan maklumat daripada orang awam, mangsa berjaya menyelamatkan anaknya sebelum dia tenggelam dan hanyut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 5.04 petang sebelum lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang digerakkan ke lokasi kejadian.
Nik Mohd Fakri berkata pihaknya tiba pada 5.30 petang di lokasi yang terletak 64 kilometer dari balai itu dan anggota penyelamat telah membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di permukaan air.
"Bagaimanapun, disebabkan arus deras, operasi terpaksa ditangguhkan dan akan disambung pagi esok," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo mengesahkan menerima laporan tentang kejadian tersebut dan pihaknya akan turut serta dalam operasi SAR esok.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


