GEORGE TOWN: Usaha mengekalkan status UNESCO di negeri ini merupakan agenda berterusan kerajaan Pulau Pinang, katanya Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo.

Beliau berkata dalam menjayakan usaha itu, kerajaan negeri telah menganjurkan sesi Town Hall  melibatkan pihak berkepentingan dari Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town (TWDGT) di Bangunan Dewan Bandaran, semalam.

"Sesi Town Hall ini adalah untuk memberi kesedaran kepada semua pihak mengenai kepentingan nilai-nilai warisan dan nilai keunggulan sejagat dalam TWDGT.

"Selain itu, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sentiasa bersedia untuk mendengar suara rakyat dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan," katanya di sini.

Tambahnya, pada 7 Julai 2008, George Town dan Melaka merupakan antara bandar bersejarah yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO berdasarkan nilai keunggulan sejagat (OUV).

Katanya, TWDGT di negeri ini meliputi kawasan zon teras seluas 109.38 hektar dan zon penampan seluas 150.04 hektar, yang melibatkan sebanyak 5,013 buah tapak warisan bersejarah.

"Dengan usaha kerajaan negeri, beberapa dokumen seperti Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011, Peraturan-Peraturan Warisan Negeri Pulau Pinang 2016 serta Rancangan Khas Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town (RKK) telah diwartakan dalam usaha memelihara bangunan warisan," katanya.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 48 notis di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 telah dikeluarkan oleh MBPP kepada pemilik bangunan mengenai pematuhan dalam memelihara tapak warisan di negeri ini.

-- BERNAMA