Skip to main content

Malaysia

Kerajaan pastikan bekalan asas tidak terputus ketika hadapi krisis bekalan tenaga dunia - Chan

HULU SELANGOR, 14 Jan -- Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, menyampaikan ucapan sempena Lawatan Kerja ke Pusat Pengumpulan Nenas Sungai Gumut di Premium Pineapple, Sungai Gumut, hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Chan berkata strategi kerajaan pada masa ini ialah memastikan kesinambungan bekalan agar rakyat masih dapat memperoleh barangan keperluan, walaupun mungkin berlaku kenaikan harga atau sedikit kelewatan. - Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan keperluan asas negara akan terus terjamin, walaupun dunia kini berhadapan dengan gelombang kedua krisis bekalan tenaga dunia.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Foong Chan Hin berkata walaupun terdapat gangguan terhadap rantaian bekalan, namun ia tidak bermakna bekalan akan terputus.

Advertisement

“Bekalan boleh tergendala sementara tetapi jangan putus. Kalau putus (bekalan), kalau ada wang pun, tidak dapat membeli,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Makanan Antarabangsa Sabah (SIFEX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini yang berlangsung selama tiga hari, bermula semalam.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata kerajaan akan menumpukan kepada tiga strategi utama dalam berdepan gelombang kedua krisis bekalan tenaga dunia, iaitu menjamin keperluan asas rakyat sentiasa mencukupi, memanjangkan tempoh bekalan melalui pengurusan dan pengagihan sumber secara berhemat serta mengekang kenaikan harga.

Chan berkata strategi kerajaan pada masa ini ialah memastikan kesinambungan bekalan agar rakyat masih dapat memperoleh barangan keperluan, walaupun mungkin berlaku kenaikan harga atau sedikit kelewatan.

Dengan mengambil contoh pengurusan bahan api, Chan berkata kerajaan mengambil pendekatan kawalan seperti pengurangan kuota pembelian petrol, bagi memastikan pengagihan lebih seimbang dan berterusan.

Bagaimanapun, beliau berkata di sebalik kebimbangan terhadap krisis global, aktiviti ekonomi domestik dilihat masih rancak dengan urus niaga perniagaan berjalan seperti biasa, yang mencerminkan tahap daya tahan Malaysia dalam menghadapi cabaran global.

Chan berkata Malaysia juga dilihat sebagai antara negara di Asia Tenggara yang menunjukkan keupayaan menyesuaikan diri dengan gangguan rantaian bekalan, sekali gus mengurangkan impak terhadap pengguna.

Mengenai program itu, beliau berkata SIFEX yang bertemakan Tasting Tomorrow Market, berjaya menghimpunkan kira-kira 400 reruai daripada pelbagai jenama serta produk makanan tempatan dan luar negara.

Chan berkata acara yang diadakan kali keempat pada tahun ini juga, turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang membuktikan program itu berpotensi sebagai hub pelancongan.

“Tahun ini SIFEX bukan sahaja dari Semenanjung dan Sarawak tetapi juga dari negara jiran iaitu Brunei, Indonesia dan Filipina serta Taiwan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video