Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Jumaat mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi memacu kembali ekonomi Malaysia ekoran pandemik COVID-19.

Dengan tema 'Bersama Menjana Ekonomi', menerusi PENJANA beliau berkata, kerajaan mengenal pasti tiga teras utama iaitu memperkasakan rakyat; melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

Tegasnya, PENJANA juga merupakan strategi keempat pemulihan yang diambil kerajaan dalam berdepan cabaran COVID-19.

"Secara keseluruhannya terdapat 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah PENJANA ini. Daripada jumlah itu, RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan Pelan Pemulihan Ekonomi Negara Jangka Pendek di sini pada Jumaat.

Selain itu, Perdana Menteri mengambil kesempatan menerangkan mengenai keadaan ekonomi negara ketika ini.

Tanpa berselindung, kata beliau, Malaysia menghadapi cabaran agak getir seperti kadar pengangguran di paras 3.9 peratus iaitu kira-kira 610,000 pada Mac 2020.

"Mengikut unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran meningkat 5.5 peratus atau lebih 860,000 kes pada keseluruhan tahun ini.

"Bagaimanapun, saya dan Jemaah Menteri akan memastikan kita dapat memangani masalah ini, membendung COVID-19 sekali gus memastikan ekonomi negara kembali berdaya saing," katanya.