KUALA LUMPUR:Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan menerima kenyataan dan bersikap lebih telus dalam menjelaskan keadaan ekonomi negara.

Beliau berkata, situasi ekonomi negara semakin buruk dan ia perlu diakui sendiri oleh kerajaan yang selama ini dilihat cuba untuk menafikan perkara itu.

“Dari segi ekonomi apa strateginya? Dia (kerajaan) banyak memberi gambaran atau bayangan bahawa semuanya baik.

“Kalau kita mula dengan kenyataan yang palsu, strategi (kelak) akan terkesan. Apa salahnya kita katakan... ‘ya kita tidak berjaya menarik pelaburan dan oleh yang demikian kita akan ada beberapa langkah baharu untuk menarik pelabur'.

“Pada hemat saya yang tidak sempurna ini, percayalah ini akan menyebabkan merudumnya lagi ekonomi negara kita,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam laman Fecebooknya malam ini. 


Kerajaan perlu akui pelaburan negara semakin teruk

BACA: Proklamasi Darurat: Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih 

BACA: Tindakan PM nasihat Agong bertentangan undang-undang, Anwar fail semakan kehakiman 

Anwar pada masa sama, menolak alasan pandemik COVID-19 sebagai punca kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) sehingga 68 peratus tahun lalu.

Sebaliknya beliau mendakwa, punca keadaan itu berlaku adalah disebabkan pengisytiharan darurat dan pengagihan tugas dalam kerajaan.

“Kalah dengan negara-negara ASEAN, dulu saya masih ingat, berbalik pada tahun 90-an kita nombor satu di ASEAN.

“Paling tinggi pelaburan ke dalam negara. Sekarang, kita yang paling bawah sekali, berbanding negara-negara lain.

“Oleh yang demikian, apa alasan? Kata menteri, COVID-19... Filipina tak ada COVID-19? Indonesia tak ada COVID-19? Ada!

“Di Indonesia tidak ada darurat, pelaburan merosot kecil. Filipina tidak ada darurat, pelaburan meningkat 29 peratus.

“Ini kalau tengok pemimpin-pemipin sekarang, mereka buat tidak tahu langsung, buat tidak dengar sahaja. Mereka terus dengan kerja mereka dan mengatakan semuanya baik,” dakwanya lagi.

Terdahulu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) melaporkan pengaliran masuk FDI Malaysia jatuh 68 peratus ke AS$2.5 bilion pada 2020.


Darurat punca kadar pelaburan asing jatuh - Anwar


AWANI Ringkas: Anwar failkan semakan kehakiman terhadap kerajaan