KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuka ruang kepada pakar teknologi maklumat (ICT), pembangun aplikasi tempatan dan orang awam untuk bersama-sama menambah baik aplikasi navigasi TuJu bagi memastikan ia menjadi alternatif yang lebih berdaya saing kepada aplikasi sedia ada.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Mohamad Sirajuddin Jalil berkata, pendekatan kerjasama antara sektor awam dan swasta penting bagi menghimpunkan kepakaran, sumber manusia serta dana untuk memperkukuh keupayaan aplikasi berkenaan.
Menurutnya, kerajaan boleh mengadakan sesi libat urus dengan tenaga mahir tempatan bagi mengenal pasti keperluan teknikal dan penambahbaikan yang diperlukan untuk meningkatkan fungsi serta kebolehgunaan TuJu.
“Kalau Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyedari perkara ini, buka ruang kepada lebih ramai anak muda dan tenaga mahir dalam negara untuk bersama-sama membangunkan aplikasi ini dengan lebih pantas.
“Panggil untuk sesi libat urus dan dapatkan maklumat mengenai tenaga mahir daripada agensi serta kementerian berkaitan yang boleh membantu membangunkan aplikasi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika temubual program Pantau Agenda Reformasi pada Jumaat.
Mengulas lanjut, katanya penambahbaikan aplikasi tidak seharusnya bergantung kepada pembiayaan semata-mata, sebaliknya turut memerlukan penglibatan aktif pengguna dan sumbangan kepakaran daripada komuniti digital tempatan.
Menurutnya, model pembangunan secara crowdsourcing seperti yang digunakan Waze boleh dipertimbangkan bagi membolehkan pengguna menyumbang maklumat trafik, berkongsi kemahiran serta membantu meningkatkan ketepatan data navigasi.
Beliau berkata, elemen ganjaran dan pengiktirafan kepada pengguna yang aktif menyumbang juga boleh diperkenalkan bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam pembangunan aplikasi berkenaan.
“Rakyat Malaysia mempunyai semangat sukarelawan yang tinggi dalam ruang digital. Jika ada elemen crowdsourcing, sumber terbuka dan ganjaran kepada pengguna, lebih ramai mungkin berminat untuk menyumbang kepada pembangunan platform itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menganggarkan penambahbaikan aplikasi navigasi seperti TuJu boleh mengambil masa antara enam bulan hingga setahun, bergantung pada kesediaan sumber manusia, pembiayaan dan sokongan teknologi.
Bagaimanapun, katanya, maklum balas pengguna perlu diberi perhatian secara berterusan bagi memastikan aplikasi itu dapat ditambah baik mengikut keperluan sebenar pengguna.
Beliau berkata, jumlah pengguna yang semakin meningkat merupakan petunjuk positif, namun aplikasi berkenaan perlu menawarkan tahap kebolehgunaan, kestabilan dan ketepatan yang mampu memenuhi jangkaan rakyat.
Sirajuddin turut berpandangan kerajaan perlu membangunkan mekanisme penilaian risiko bagi perkhidmatan digital sebelum ia digunakan secara meluas, termasuk menilai aspek keselamatan data dan implikasi terhadap kedaulatan negara.
Menurutnya, pembangunan aplikasi tempatan yang tertakluk kepada undang-undang Malaysia turut memberi pengguna saluran untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku dakwaan salah laku atau penyalahgunaan data peribadi.
Beliau menegaskan, usaha memperkukuh aplikasi tempatan perlu disertai langkah perlindungan pengguna yang jelas supaya rakyat mempunyai pilihan alternatif yang diyakini dari segi keselamatan dan fungsi.