KUALA LUMPUR : Pentadbiran baharu perlu membuktikan kemampuan untuk memperkenal dan melaksanakan dasar-dasar perpaduan dalam usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh serta memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, soal perpaduan dan harmoni antara kaum adalah sangat penting dan perlu diutamakan khususnya di Malaysia, sebuah negara berbilang bangsa dan agama.

Tambahnya, Dasar Perpaduan Negara Dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 perlu diutamakan dan diteruskan bagi memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia terus utuh dan kukuh.

"Saya harap isu berkaitan perpaduan ini akan diberikan perhatian berat dan juga keutamaan oleh pentadbiran baharu. Ini kerana perpaduan adalah penentu kepada kejayaan negara Malaysia, kelangsungan hidup negara kita dan bagaimana kita sebagai negara berbilang kaum dapat hidup dalam aman dan damai," katanya ketika ditemu bual dalam Buletin Astro AWANI Khas, pada Ahad.   


Usaha kekalkan perpaduan & keharmonian di kalangan rakyat

Sementara itu, beliau tidak nafikan bahawa pentadbiran baharu yang kini diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan menghadapi pelbagai cabaran seperti isu kesihatan, ekonomi dan  kesejateraan rakyat.

"Adalah (menjadi harapan) agar semua isu rakyat ini dapat ditangani secara berkesan oleh pentadbiran baharu dengan kerjasama semua ahli-ahli Parlimen. Ini kerana, kita tahu bahawa isu-isu berkaitan kesihatan  awam, ekonomi  dan kesejahteraan rakyat semua ini seharusnya dibawa ke Dewan Rakyat.

"(Di Dewan Rakyat), semua ahli-ahli Parlimen boleh berbincang, berikan idea yang terbaik untuk membantu kerajaan untuk menangani isu tersebut," katanya.    

Lam Thye turut menegaskan, isu berkaitan politik perlu diketepikan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan berharap dengan persidangan Dewan Rakyat pada bulan September akan datang, sebaliknya isu rakyat, ekonomi dan kesihatan berkaitan pandemik COVID-19 akan dibahaskan untuk mencari jalan penyelesaian yang berkesan.

Sebelum ini, Dasar Perpaduan Negara Dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Februari 2021.

Rangka tindakan itu dihasilkan bagi menyokong strategi-strategi dalam dasar perpaduan negara serta menetapkan aspirasi perpaduan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Tiga objektif utama ditetapkan dalam dasar berkenaan iaitu mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat-menghormati dan bertanggungjawab; dan melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.