KUALA LUMPUR:Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan khususnya disaran mempertimbangkan pengurangan kadar kos yuran persekolahanan ketika dalam situasi pandemik. 

Presiden Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berpendapat ketika ini sebahagian besar ibu bapa terpaksa berdepan bebanan untuk menyediakan gajet bagi keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Dalam situasi COVID-19 ini saya percaya sesi pembelajaran secara PdPR jauh berbeza jika dibandingkan secara bersemuka di sekolah.

“Terdapat beban yang terpaksa ditanggung ibu bapa apabila perlu membelanjakan peranti gajet bagi keperluan PdPR

“Justeru kerajaan diharapkan dapat pertimbang pengurangan segala bentuk yuran persekolahan supaya dapat meringankan beban mereka (ibu bapa),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohamad Ali berkata, perkara sedemikian perlu dibawa dalam satu perbincangan melibatkan Kementerian Pendidikan termasuk persetujuan bersama pihak Kementerian Kewangan.

Mengulas mengenai operasi kantin sekolah, beliau berpendapat tiada sebarang masalah bagi pengusaha kantin untuk meneruskan perniagaan namun harus berpandu kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Saya rasa tiada masalah untuk kantin beroperasi yang penting patuh kepada SOP seperti pelajar perlu berbaris dan hanya membeli makanan dalam bentuk bungkusan dan tidak makan di kantin.

“Dapatkan nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan khususnya selain perlu menitikberatkan kebersihan dalam penyediaan makanan,’ katanya lagi.

Baru-baru ini, wujud beberapa keluhan melibatkan pihak ibu bapa yang terpaksa berdepan bebanan kos yuran persekolahan meskipun terdapat sekolah yang masih belum dibuka.

Ini termasuk pihak pengusaha kantin yang hilang punca pendapatan akibat pengoperasian mereka terjejas berikutan arahan untuk menutup sesi persekolahan.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting agar dibenarkan ke sekolah untuk meneruskan sesi pembelajaran bersama guru secara bersemuka.