Sejumlah RM1.2 bilion perlu diperuntukkan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) seandainya ia diadakan sekarang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, peningkatan itu adalah dari anggaran RM700 juta yang perlu diperuntukkan pada PRU15.

Jelasnya, ia disebabkan kos Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipraktikkan pada musim pandemik COVID-19 kini.

“Pada PRU14 sebanyak RM500 juta telah dibelanjakan dan sekiranya kerajaan adakan pilihan raya mengejut, ia dikatakan sebanyak RM1.2 bilion, bukan RM700 juta. Itulah anggaran yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan-BN) mengenai SOP pilihan raya.

Pada Februari lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada masa itu, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, anggaran kasar untuk mengadakan PRU adalah antara RM750 juta dan RM800 juta.