KUALA LUMPUR: Pengalaman tiga dekad karier sebagai peguam diakui telah sedikit sebanyak memudahkan Tan Sri Azhar Azizan Harun menggalas tugasnya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Kata Azhar Azizan, kefahamannya tentang Perlembagaan dan undang-undang negara mendorong beliau bertindak sewajarnya bagi memastikan urusan di dalam Dewan Rakyat lancar dan efisyen.

“Selama 31 tahun saya beramal sebagai peguam; saya banyak mengendalikan kes Perlembagaan.

“Oleh itu saya tahu apa yang boleh saya buat dan apa yang saya tak boleh buat,” kata Azhar Azizan.

Sepanjang tempoh berkhidmat sebagai peguam itu juga telah membentuk hubungan akrab antara beliau dengan Ahli-Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak yang membantunya berurusan dengan lebih mudah.

“Saya bertuah kerana saya punyai rakan-rakan rapat dan sahabat di sebelah sini dan juga di sebelah sana.

“Oleh kerana itu, proses engagement saya dengan mereka agak senang, saya boleh ajak sahaja mereka berbincang di luar sambil minum kopi,” kata Azhar Azizan.

Maka beliau melihat segala yang berlaku di dalam Dewan Rakyat hanyalah sebahagian daripada kerja yang perlu dihadapi dan ia tidak menjejaskan hubungan di luar.

Disebabkan itu, beliau tidak pernah mengambil apa sahaja yang dilemparkan kepadanya ketika persidangan di dalam Dewan secara peribadi.

“Malah saya pernah dipanggil ‘barua’ pun, tapi saya tak pernah mengambilnya secara peribadi dan itu menyenangkan tugas saya.”

Saya pernah dipanggil 'barua', tapi saya tak ambil secara peribadi - Azhar