KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyelaraskan elaun sara hidup pelajar-pelajar tajaan agensi kerajaan di Amerika Syarikat (AS) supaya tiada perbezaan bantuan yang diterima dalam kalangan mereka.

Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, beliau memberikan pandangan tersebut selepas isu itu dibangkitkan oleh pelajar ketika lawatan rasminya ke Pennsylvania State University, Kampus University Park pada 7 Mei lalu.

Kerajaan perlu selaras elaun sara hidup pelajar Malaysia di AS - Nazri

“Semasa perjumpaan dengan para pelajar Malaysia, saya dimaklumkan berkenaan situasi elaun sara hidup, di mana terdapat perbezaan kadar yang diterima oleh pelajar tajaan Kerajaan Malaysia di bawah agensi yang berbeza.

“Saya berpandangan, Kerajaan Malaysia perlu menilai semula hal ini dan menyelaras kadar yang diterima berkadaran dengan kos sara hidup di Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

“Para pelajar tajaan MARA telah menerima peningkatan elaun sara hidup bermula September 2022. Saya berharap agensi kerajaan yang lain akan turut mengambil langkah yang sama dalam hal ini.”

Program Kecemerlangan Aspirasi Malaysia Madani anjuran MARA Amerika Syarikat merupakan aspirasi Mohamed Nazri selaku Duta Besar.

Selain MARA, program ini turut melibatkan pihak Education Malaysia (EM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bersama pelajar yang mendapat keputusan cemerlang. - Gambar ihsan Kedutaan Malaysia

Beliau berkata, inisiatif Kerajaan dalam menghantar pelajar-pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian di luar negara adalah pelaburan yang sangat baik dan perlu dipertingkatkan.

“Mereka (pelajar) merupakan bakal pelapis yang akan menyambung legasi pentadbiran dan pembangunan negara.

“Saya berdoa dan berharap agar pelajar-pelajar ini akan terus mengharumkan nama Malaysia di bumi Amerika Syarikat,” katanya lagi.

Mohamed Nazri yang ditemani isteri, Datin Seri Haflin Nazri Aziz turut mengadakan perbincangan dengan pengurusan Pennsylvania State University dan lawatan di sekitar kampus utama, University Park.

Seramai hampir 150 orang pelajar Malaysia telah hadir semasa perjumpaan itu yang melibatkan pelajar-pelajar tajaan MARA, Petronas dan JPA.

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bersama pihak pengurusan Pennsylvania State University. - Gambar ihsan Kedutaan Malaysia

Rombongan kedutaan Malaysia yang turut disertai Datin Seri Haflin Nazri Aziz. - Gambar ihsan Kedutaan Malaysia


Dalam pertemuan tersebut, Mohamed Nazri telah menyampaikan sijil kecemerlangan kepada lapan pelajar Malaysia di bawah tajaan MARA yang mendapat keputusan cemerlang.

Seramai 138 orang pelajar MARA di Amerika Syarikat atau 58.2 peratus telah memperoleh keputusan kelas pertama atau CGPA 3.5 ke atas.