MALAYSIA
Kerajaan perluas dialog awam antibuli, fokus suara kanak-kanak bulan Oktober

Azalina ditemui media ketika sesi Town Hall Antibuli #GenerasiTanpaBuli’ peringkat negeri Pulau Pinang dan Perak di Dewan SJKC Aik Hua, Sungai Ara di sini hari ini. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Kerajaan akan memperluas sesi dialog awam bersama pelajar sekolah rendah dan menengah pada bulan Oktober ini sebagai sebahagian daripada proses libat urus bagi merangka Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli.
Ringkasan AI
- Kerajaan perluas sesi dialog awam Oktober ini melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah untuk mendapatkan pandangan dalam merangka RUU Antibuli.
- Maklum balas libat urus cadang perluas definisi buli dan wujudkan tribunal antibuli berkesan, mekanisme aduan mesra kanak-kanak, serta hukuman berbentuk remedi seperti kaunseling dan khidmat masyarakat.
- Dialog awam akan diteruskan dengan universiti dan sekolah berasrama penuh, sebelum draf akhir RUU dibentang di Parlimen Disember ini.
"Oleh itu, kita akan bawa pelajar sekolah rendah dan menengah dalam dialog awam pada Oktober nanti," katanya dalam sidang media selepas Sesi Dialog Awam Antibuli #Generasi Tanpa Buli Peringkat Pulau Pinang dan Perak di sini hari ini, yang melibatkan guru, ibu bapa, wakil rakyat serta pemimpin masyarakat.
Azalina berkata kerajaan turut merancang mengadakan sesi dialog awam bersama penuntut universiti dengan kerjasama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bagi mendapatkan pandangan warga kampus mengenai isu buli di institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata maklum balas daripada sesi libat urus sebelum ini menunjukkan terdapat keperluan untuk memperluas definisi buli supaya tidak terhad kepada golongan di bawah usia 18 tahun selain memastikan penubuhan tribunal antibuli yang dicadangkan berfungsi secara berkesan dan bukan sekadar simbolik.
Azalina berkata peserta dialog awam hari ini turut menekankan keperluan mewujudkan mekanisme aduan mesra kanak-kanak seperti hotline yang mudah diakses dan prosedur yang tidak membebankan mangsa.
"Banyak juga pandangan supaya hukuman lebih berbentuk remedi dan restoratif seperti kaunseling, khidmat masyarakat atau denda berbanding pemenjaraan... ini selaras dengan hak pendidikan kanak-kanak yang perlu terus dipelihara," katanya.
Beliau juga berkata RUU itu bukanlah bertujuan menghukum semata-mata sebaliknya menyediakan platform alternatif bagi menyelesaikan kes buli di luar mahkamah termasuk yang melibatkan institusi pendidikan.
Azalina turut memaklumkan bahawa sesi dialog awam akan diteruskan dengan sekolah berasrama penuh dan kumpulan berkepentingan lain bagi mendapatkan input lebih menyeluruh sebelum draf akhir RUU berkenaan dibentangkan di Parlimen pada Disember ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami