Skip to main content

Malaysia

Kastam rampas rokok, arak seludup lebih RM2 juta

𝗝𝗔𝗕𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗞𝗔𝗦𝗧𝗔𝗠 𝗗𝗜𝗥𝗔𝗝𝗔 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔 𝗡𝗘𝗚𝗘𝗥𝗜 𝗦𝗘𝗠𝗕𝗜𝗟𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗝𝗔𝗬𝗔 𝗠𝗘𝗡𝗨𝗠𝗣𝗔𝗦𝗞𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗡𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗢𝗞𝗢𝗞 𝗗𝗔𝗡 𝗠𝗜𝗡𝗨𝗠𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗥𝗔𝗦 𝗧𝗜𝗗𝗔𝗞 𝗦𝗔𝗛 𝗕𝗘𝗥𝗡𝗜𝗟𝗔𝗜 𝗠𝗘𝗟𝗘𝗕𝗜𝗛𝗜 𝗥𝗠𝟮.𝟭 𝗝𝗨𝗧𝗔
Pengarah JKDM Negeri Sembilan Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata seramai 26 individu berusia antara 35 hingga 56 tahun disoal siasat dan dua warga asing telah dituduh di mahkamah. - Foto FB JKDM Negeri Sembilan

SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penjualan rokok dan minuman keras tidak sah bernilai RM2.13 juta hasil serbuan di 28 premis di sekitar negeri berkenaan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata susulan itu, seramai 26 individu berusia antara 35 hingga 56 tahun disoal siasat dan dua warga asing telah dituduh di mahkamah.

Advertisement

“Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 38 premis diperiksa dan daripada jumlah itu 28 premis didapati menjual rokok dan minuman keras yang disyaki sebagai barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Rampasan melibatkan 96,879 paket bersamaan 1.75 juta batang rokok pelbagai jenama dan saiz, serta 26,375 tin atau botol (12,331.34 liter) minuman keras dianggarkan bernilai lebih RM2.13 juta termasuk cukai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hasil siasatan mendapati sindiket terbabit menggunakan modus operandi dengan menjual rokok serta minuman keras tidak sah itu secara tersembunyi dan mengedarkannya secara senyap kepada pelanggan tetap dengan harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

Muhammad Ilyas Queek berkata kesemua barang kes disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) akta sama.

Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai terus membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan termasuk melibatkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain barangan selain menasihatkan masyarakat supaya tidak terbabit dalam aktiviti penyeludupan.

Beliau berkata orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam atau pejabat kastam terdekat dengan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.

-- BERNAMA

Must Watch Video