Skip to main content

Politik

'Kemelut politik Negeri Sembilan akan diselesai melalui rundingan, jumpa PM hari ini' - Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke sidang media sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa Kpdn Ke-54
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, bahawa keutamaan masa ini adalah untuk memastikan kestabilan pentadbiran demi kepentingan rakyat di negeri berkenaan. - Foto/ Astro AWANI/ Shahir Omar

CYBERJAYA: Sebarang kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan ketika ini akan diselesaikan secara rundingan politik tanpa mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri mahupun sistem perundangan adat sedia ada.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi perbincangan untuk memperincikan hala tuju penyelesaian.

Advertisement

Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, keutamaan masa ini adalah untuk memastikan kestabilan pentadbiran demi kepentingan rakyat di negeri berkenaan.

"Saya akan menyelesaikan kemelut yang ada itu melalui politik dan kita tidak akan pernah campur di dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri ataupun dalam undang-undang adat Negeri Sembilan.

"Harap kita ikuti Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan juga peraturan Dewan Undangan Negeri selanjutnya di Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54 dan Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0 di Cyberjaya pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai ketidakstabilan di negeri tersebut, Ahmad Zahid menekankan kepentingan mematuhi setiap prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan sebelum sebarang langkah diambil.

“Pada hemat saya, ia tidak semudah itu dan yang paling baik ialah mengikuti semua peraturan yang ada dan prosedur bagi menentukan bahawa peraturan itu diikuti terlebih dahulu.

"Kita akan mencari penyelesaian terbaik bagi menentukan bahawa sebuah kerajaan yang kukuh di Negeri Sembilan itu dapat terus melayani dan mendepani permasalahan rakyat," jelas beliau.

Tambah beliau, prinsip berkenaan terpakai dalam sebarang bentuk kerjasama politik, sama ada membabitkan Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).

“Itulah sebabnya perbincangan dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) itu penting. Dan masalah politik harus diselesaikan secara politik, bukan dengan keadaan-keadaan yang lain," katanya.

Semalam, semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan sebulat menyuarakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pilihan Raya Negeri ke-15 pada 2023 menyaksikan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menguasai 31 kerusi DUN.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, PH memenangi 17 kerusi, BN menguasai 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) dengan lima kerusi.

Must Watch Video