Kerajaan sedang mempertimbangkan pandangan dari salah seorang bekas peneraju syarikat perladangan negara yang boleh dijadikan rangka untuk melaksanakan program perladangan padi berskala besar.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Bakke Salleh telah membentangkan cadangan berhubung percantuman tanah yang boleh dilaksanakan dalam penanaman padi secara besar-besaran.

“Saya dah cakap dengan Bakke daripada Felda. Beliau ini dahulu CEO Sime Darby dan sudah biasa dengan pengurusan ladang ladang sawit dan getah.

“Dia telah menulis sebuah paper (kajian) berkenaan dengan cara-cara hendak cantumkan tanah-tanah supaya jadi lebih besar tapi tidak terhad kepada padi sahaja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Padi Kebangsaan di Alor Setar, Kedah pada selasa.

Menurut beliau cadangan berkenaan boleh diaplikasikan dalam keadaan yang dihadapi oleh golongan pesawah di negara ini yang sebahagian besarnya merupakan orang Melayu, yang setiap seorangnya memiliki saiz bidang tanah yang terhad.

“Kita lihat orang Melayu banyak mempunyai dua tiga ekar tanah dan tanam kelapa sawit tidak boleh untung, tanam getah tak boleh untung. Dia kena cantum jadi lebih besar urus dengan cara profesional guna secara yang terbaik baru boleh untung,” tambah beliau lagi.