KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memberi tempoh sebulan kepada kerajaan dan 35 individu yang terdiri daripada bekas anggota badan kehakiman serta tujuh balu pesara hakim untuk mencapai kata sepakat berhubung penyelesaian dalam kes saman membabitkan isu pencen.

Saman itu telah difailkan selepas mereka mendakwa kerajaan gagal menetapkan kadar bersesuaian bagi kenaikan pencen dan faedah yang diterima sejak 2015.

Peguam Christopher Leong, yang mewakili plaintif, berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di sini hari ini.

"Mahkamah memberi masa kepada kedua-dua pihak meneruskan perbincangan tanpa prejudis dalam usaha menyelesaikan kes itu dan menetapkan 5 Mac ini untuk mereka memaklumkan perkembangan terkini kepada mahkamah," katanya.

Perkara itu turut disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Samsul Bolhassan, yang bertindak bagi pihak kerajaan.

Pada 6 Okt 2022, mahkamah sama telah memberi masa selama dua bulan kepada kerajaan untuk meneliti kemungkinan mengemukakan cadangan bagi menyelesaikan saman itu.

Saman itu, yang difailkan pada 24 Jan 2022, menyaksikan plaintif menamakan Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai defendan.

Mereka memohon deklarasi bahawa kegagalan untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain bagi setiap plaintif mengikut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) melalui perintah dalam Warta telah melanggar Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Turut dimohon perintah bahawa defendan kedua atau ketiga (Perdana Menteri dan Jemaah Menteri) hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain yang diberikan kepada setiap plaintif berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut Seksyen 15B(2) Akta 45.

Plaintif juga berkata mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim bersara dan orang tanggungan hakim yang telah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim masih berkhidmat yang disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa sebagaimana yang wajib dilakukan menurut Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

-- BERNAMA